Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tergamaknya! Bengang Disuruh Tutup Suis Lampu, Anak Libas Ibu Dengan Pisau

Kamaruddin Razal
14/09/2020 18:48 MYT
Berang diminta menutup suis lampu, seorang anak tergamak menetak kepala ibunya dengan pisau pemotong daging dalam kejadian di rumah mereka di Flat Hijau Mak Mandin, Butterworth, pada Isnin.

Memetik laporan Astro AWANI, dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa, berusia 67 tahun cedera di bahagian kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian mangsa sedang mengemas rumah dan mendapati lampu bilik anaknya menyala dan menyuruh anaknya menutup lampu.

Suspek berusia 42 tahun itu yang sedang tidur ketika itu dikatakan berang lalu bertindak turun ke dapur untuk mengambil pisau dan melibaskan pisau tersebut ke arah ibunya.

"Ketika menyambung mengemas, suspek tiba-tiba masuk ke dapur dan mengambil sebilah pisau pemotong daging dan melibas-libas ke arah ibunya sehingga terkena lengan mangsa selain menetak kepala ibunya," katanya.

"Mangsa mengalami kecederaan iaitu luka sepanjang 10 sentimeter di bahagian kepala dan 8 sentimeter di bahagian lengan kanan," katanya dalam sebuah kenyataan semalam.

Noorzainy berkata, suspek yang tinggal berdua dengan ibunya itu kemudian bertindak menghalau mangsa keluar dari rumah tersebut.

Mangsa yang berlumuran darah pergi ke rumah jirannya sebelum ambulan tiba dan membawanya ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan.

Noorzainy berkata, suspek yang juga penagih dadah itu mempunyai tujuh rekod lampau termasuk lima rekod dadah, ditahan polis di rumah tersebut.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sumber: Astro AWANI
#Berita
;