Berita
Tergendala Buka Kedai Aksesori Motor, Achey Nak Cuba Jadi Tauke Kedai Runcit Pula!
Pelawak dan penyanyi Achey memaklumkan bahawa dia kini merancang untuk menjalankan perniagaan kedai runcit sebagai salah satu cabang bisnes baharunya.
Achey atau nama sebenarnya, Mohd. Nasir Hamzah, 35, berkata, hasrat tersebut merupakan impiannya bersama isteri sejak dulu lagi.
"Rasanya nak buat bisnes yang orang perlukan dari dulu lagi, iaitu kedai runcit. Dapat buka kedai runcit biasa pun jadilah, janji ada.
"Saya dah tinjau lokasi di kawasan kita sendiri. Perniagaan ini rasanya perancangan yang lebih mujarab," katanya kepada Gempak.
Achey ditemui sewaktu Majlis Pelancaran produk makanan ringan Palut's di Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.
Menurut Achey lagi, idea untuk menjalankan perniagaan kedai runcit itu dirasakan sebagai satu bisnes yang paling bersesuaian dengan keadaan pandemik dalam menyediakan barangan keperluan harian.
"Sebelum ini, saya ada beritahu nak buka bisnes lain, termasuklah kedai aksesori motosikal.
"Bagaimanapun, ada yang terkandas dan tersangkut. Lagipun, saya rasa ia bukan satu bisnes yang mendapat permintaan orang ramai pada waktu-waktu sekarang," jelasnya.
Sebelum ini, Achey pernah menyuarakan hasrat untuk memiliki perniagaan berkaitan motosikal berikutan minatnya dalam dunia permotoran.
Buktinya, pelantun lagu Yang Terindah itu pernah mendedahkan dirinya pernah mempunyai lebih 30 koleksi motosikal.