Laman Utama
Terima Anugerah Duta Muhibbah Oleh Kerajaan Palestin, Ebit Lew Sudah Bincang Program Akan Datang
Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew sebak dan bersyukur apabila menerima anugerah sebagai Duta Muhibbah oleh kerajaan Palestin.
Berita gembira itu dikongsi Ebit menerusi kemas kini di laman Facebook miliknya malam tadi.
"Terharu sebak syukur rasa bila dianugerahkan sebagai Duta Muhibbah Palestine / Palestine Goodwill Ambassador.
"Saya cuma buat sedikit usaha berbanding ramai orang. Kami dijemput meeting bersama Menteri dan Timbalan Menteri dari Kementerian Luar Palestine, Kementerian Pembangunan Palestin, Kementerian Kebudayaan dan Belia.
"Mereka menyambut dan melayan dengan sangat baik, terharu rasa, Allahuakbar, kita cuma orang kecil dan bukan sesiapapun. Cuma niat nak menolong sahaja," tulisnya.
Dalam pada itu, Ebit yang masih berada di Palestin menjalankan misi kemanusiaan itu memaklumkan, beliau sudah berbincang mengenai program akan datang ketika bertemu wakil kerajaan negara berkenaan.
"Saya bersetuju bekerjasama dengan kementerian luar projek - cultural Exhibition of heroism and Sacrifice.
"Demi maslahat anak muda remaja disana, identiti dan tanah mereka diambil. Berapa banyak telah terkorban, ada berapa banyak keluarga dah tiada keturunan mereka.
"Semuanya syahid, berapa banyak bangunan diletupkan, anak kecil terkorban. Jadi ini bina satu tempat untuk mengingat jati diri mereka dan semua yang telah berkorban." tulisnya lagi.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu telah mendapat lebih 3 ribu komen yang rata-ratanya memuji kejayaan Ebit dan mendoakan kebaikan buatnya.
Misi kemanusiaan yang dijalankan Ebit dengan kerjasama Egypt Red Crescent dan Palestin Red Crescent itu telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa yang perlu dipatuhi termasuk apabila kembali ke Malaysia.