Penyanyi Aina Abdul mencuri tumpuan ramai apabila muncul dalam sebuah program TV Korea yang dikenali sebagai Simply Kpop Con-Tour yang disiarkan pada malam tadi waktu tempatan.

Menerusi laman sosial Instagram, Aina berkongsi sedutan dirinya ditemubual oleh dua pengacara program tersebut, Kevin dan Jacob daripada kumpulan The Boyz.

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul)


Menerusi video berdurasi hampir lima minit itu, Aina kelihatan bersahaja menjawab soalan-soalan temubual sambil ditonton oleh peminat program tersebut secara maya.

“Saya berasa teruja kerana saya sering menonton program ini dan apabila dapat kesempatan ditemual, ia ibarat mimpi yang jadi kenyataan,” ujarnya ketika menjawab soalan pengacara.

Antara segmen yang ada di dalam program hiburan ini adalah mengundang selebriti daripada pelbagai negara secara maya yang merupakan peminat K-pop.

Selain sesi temubual secara langsung bersama Aina, program ini turut menjemput peminat K-pop dari pelbagai negara untuk mengikuti secara maya.

Selain Aina, program ini telah menemubual bintang terkenal daripada Thailand, Vietnam dan Filipina dalam episod-episod terdahulu.

Di laman sosial yang sama, nama Aina menjadi trending setelah ramai peminat K-pop berkongsi sedutan temubual tersebut.

“Dan kita secara tidak sengaja melatih Aina Abdul hahaha, tapi dia benar-benar berhak mendapat ini,” komen seorang wargamaya.

“Cute gila Kevin jatuh hati pada Aina Abdul,” kata seorang wargamaya.

“Aina Abdul sangat bernasib baik. Dia secara konsisten memasarkan dan mendedahkan dirinya ke dunia KPOP melalui covernya yang menakjubkan. Ini dipanggil usaha dan hasil,” puji seorang wargamaya.

“Wuuuuu congratulations Aina Abdul masuk Arirang Simply Kpop laaaa host by The Boyz Kevin & Jacob.
Loveeeeeeee,” ujar seorang wargamaya lagi.

April lalu, Aina mula menerima sambutan daripada peminat K-pop apabila berkongsi rendisi lagu Sepi dalam bahasa Korea. Sehingga kini video tersebut menerima hampir 700,000 tontonan.

Persembahannya turut meraih beberapa video muzik reaksi. Kemudian, lagu Sepi versi Korea kemudian dipersmebahkan oleh dua pemuzik Korea.