“Terima Kasih Ajar Buat Roti Jala & Cendol” - Khairul Aming Terima Penghargaan PM New Zealand, Siap Puji Makanan Malaysia Sedap
Personaliti media sosial dan usahawan, Khairul Aming berkongsi rasa terujanya apabila menerima surat penghargaan daripada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.
Khairul Aming menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya melampirkan surat diutus Christopher yang menzahirkan ucapan terima kasih atas layanan dan tunjuk ajar yang diberikan sepanjang pertemuan mereka.
Antara yang menarik perhatian netizen adalah apabila Christopher memberitahu Khairul Aming telah mengajar cara untuk melakukan hidangan popular di Malaysia iaitu Roti Jalan dan Cendol.
Sementara itu, Khairul Aming juga berharap agar orang ramai dapat mendoakannya supaya terus menghasilkan konten yang boleh mengharumkan nama negara.
“Doakan agar kami dapat teruskan buat konten yang harumkan nama Malaysia di mata dunia,” tulisnya.
Terdahulu, pada 3 September lalu, Khairul Aming menyambut kedatangan Luxon di restoran Hidang KL dan sempat menyediakan hidangan sarapan berupa roti jala hasil air tangannya sendiri serta teh tarik.