Pemergian bintang Big Stage 2020, Sandra Dianne yang menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi tadi pastinya membawa berita duka buat industri hiburan tanah air.

Malah, kebanyakan platform media sosial hari ini ‘dibanjiri’ dengan ucapan takziah dan doa buat Allahyarhamah.

Antara yang mendapat perhatian ada perkongsian seorang pemuda dikenali sebagai Faris.

Menerusi satu posting di Twitter, Faris mengucapkan terima kasih kepada Sandra kerana menyumbangkan suara dalam lagu kegemarannya iaitu Terkemuka.

“Al-Fatihah Sandra Dianne. Terima kasih atas suara anda yang cukup indah dalam lagu ini.

“Terkemuka akan selalu menjadi lagu yang menaikkan semangat dan keyakinan diri saya,” katanya.

Sehingga kini posting di Twitter itu telah menerima perkongsian sebanyak 1,831 kali dan lebih 2,000 likes.

Rata-rata netizen juga dilihat bersetuju dengan pandangan pemuda berkenaan dan menyifatkan suara Sandra sangat unik.

Sekadar info, Terkemuka merupakan lagu yang dinyanyikan oleh Sandra bersama Benzoolo dan Zizi Kirana.

Lagu berkenaan dihasilkan oleh Takahara Suiko, Malique, Tripdisz.

Lirik pula oleh Takahara Suiko dan Benzooloo.

Untuk makluman, Sandra telah menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi tadi setelah lima hari bertarung nyawa akibat kemalangan.

Pemergian itu dilaporkan menerusi laman sosial Instagram rakan seperjuangannya, Usop yang memaklumkan tentang berita duka itu.

BACA : Bintang Big Stage 2020 Sandra Dianne Meninggal Dunia