Thinker Studios diumumkan sebagai pemenang utama Anugerah Podcast SYOK 2022 bagi kategori istimewa iaitu Podcast Kegemaran Persendirian menerusi program PodcasThinker.

Anugerah yang berlangsung pada malam Rabu bertempat di Simply Live by Tin Box itu menyaksikan wakil dan juga merupakan podcaster PodcasThinker iaitu Syafa mengambil trofi kemenangan tersebut.

“Saya ingin berterima kasih kepada SYOK podcast kerana menganugerahkan kami dengan anugerah ini iaitu sesuatu yang amat kami nantikan.

“Sebab kami bermula pada tahun 2019 dan pada 2022 akhirnya dapatlah kami kecapi manisnya sedikit. Alhamdulillah.

“Tidak tidak ada orang lain yang kami boleh ucapkan sebanyak-banyak terima kasih melainkan kepada pendengar.

“Terima kasih kerana selalu menyokong kami sejak dari mula-mula kami memulakan podcast. Terima kasih banyak-banyak,” kata Syafa kepada Gempak.

Selain itu, pengacara rancangan Gempak Most Wanted, Amelia Henderson juga dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga bagi kategori yang sama menerusi program Studio Sembang.

“Semua ini tidak mungkin akan menjadi kenyataan tanpa tetamu jemputan yang memberikan kepercayaan kepada kami.

“Audience menakjubkan yang sering menonton setiap minggu dan sudah pasti tanpa ragu-ragu, dengan adanya pasukan terbaik di dunia, ini adalah untuk anda semua,” tulisnya di Instagram.

Sementara itu, wartawan Harian Metro iaitu Sudirman Mohd Tahir telah memenangi kategori Syok Podcast Sepanjang Tahun Bahasa Malaysia menerusi program kendaliannya disiarkan di aplikasi Syok berjudul Confession Bilik Gelap.

“Memang tak sangka kerana podcast lain yang tercalon adalah podcast yang memang ada penggemarnya tersendiri.

“Confession Bilik Gelap ini baru sahaja masuk musim ketiga jadi bila tercalon top 5 itu pun sudah cukup berterima kasih.

“Bila diundi untuk menang, terasa sangat dihargai. Terima kasih kepada SYOK podcast kerana memilih saya sebagai salah seorang podcaster untuk segmen tersebut.

“Keunikan Confession Bilik Gelap ini kelainan dan keunikannya adalah cerita-cerita yang dibawa itu sangat eksklusif dan tiada di tempat lain,” ujarnya ketika ditemui Gempak.

Untuk senarai penuh pemenang, anda boleh lihat di bawah:

A post shared by SYOK (@syok.bm)