Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memuji cara juara Big Stage 2020 (BS2020), Azzam Sham yang membawakan lagu nyanyiannya Aku Bidadari Syurgamu di pentas akhir pertandingan itu malam tadi.

Menurut Siti, Azzam mempunyai cara tersendiri membawakan lagu tersebut.

"Azzam terima kasih kerana menyampaikan lagu saya dengan cara tersendiri," katanya melalui ciapan di laman Twitter.

Selain Aku Bidadari Syurgamu, Azzam telah mendendangkan lagu hit Grenade nyanyian asal Bruno Mars.

Azzam membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000.

Sementara itu, Usop pula berjaya meraih tempat kedua manakala Qody Rany berada di tangga ketiga.

Dinie Rashid dan Fadh Majid pula masing-masing di kedudukan keempat dan kelima.

Big Stage 2020 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Big Stage 2020 ditaja oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku penaja bersama.