"Terima Kasih Madu Ajak Saya pergi..." - Zarina Bawa Azal Dan Ibu Mengerjakan Umrah

Badrul Hashim
Oktober 21, 2019 02:06 MYT
Sabtu lalu pelakon dan usahawan pulut kuning, Zarina Zainuddin berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah. Dalam satu entri di Instagramnya, Zarina menyatakan dia bakal mengerjakan umrah bersama madunya, ibu dan anaknya bersama jemaah yang lain.
Dalam satu entri terbarunya, Zarina bersyukur ke hadrat Illahi kerana diberi peluang untuk melawat rumah Allah.
"Ya Allah saya bersyukur dijemput ke rumah-Mu. Terima kasih madu saya ajak saya pergi bimbing saya fardu dan rukun umrah juga solat solat sunat sepanjang di sini.
Bahagianya saya rasa kerana saya ditemukan Allah dengan insan yang baik hati yang membimbing kami sekeluarga ke arah kebaikkan," tulis Zarina dalam entri terbarunya.
Zarina juga berkongsi rasa syukur kerana malam tadi dapat bersolat di Rawdah walaupun terlalu ramai orang di sana.
"Semalam dapat solat di rawdah walaupun terlalu ramai tolak menolak kerana semuanya ingin solat di bahagian depan rawdah rebut peluang sementara masih ada disini.
"Saya berdoa semuga anda dan keluarga anda diberikan kesihatan yang baik dipermudahkan segalanya dalam menempuh ujian Allah diberikan rezeki yang halal dan mendapat berkat dalam hidup dengan tenang dan berbahagia dunia akhirat, amin," tulis Zarina lagi.
Zarina Zainuddin bersama madunya Datin Seri Hajah Norhasimah Mohd Noor, ibunya Zahura binti Abdul Mutalib dan anaknya Muhammad Raizal Azrai bin Abu Raihan ke Mekah menunaikan umrah bersama saudara jemaah yang lain.
#Zarina Zainuddin #Umrah #Azal