Gaya Hidup
"Terima Kasih Sangat-Sangat" - Rizalman Sebak Orang Ramai Beratur Sejak Subuh Untuk Dapatkan Koleksi Beliau
Beberapa hari lalu, pereka fesyen ternama Dato' Rizalman 'mengamuk' di Instagram apabila promosi yang dibuatnya di Instagram untuk menjual koleksi beliau yang berupa beg tangan dan kasut yang diberi nama #ribae71, #ribucket71, #ripurse71 dan #riflats71 dijual lebih awal daripada waktu yang dia umumkan.
Ramai peminat yang terkilan kerana tidak dapat memiliki koleksi jenama beliau tersebut apabila waktu yang dicanangkan bermula jualan pukul 11:00 pagi tetapi telah mulai dijual bermula 6:00 pagi lagi.
Untuk tidak mengecewakan mereka yang tidak dapat membeli, Rizalman meminta produk yang disimpan supaya dijual kesemuanya tetapi dalam jumlah terkawal untuk setiap pembeli.
Dalam pengumuman yang dibuat di Instagramnya, Koleksi Rizalman 2019 mula dijual di bilik pameran Sometime di The Gardens Mall bermula pada pukul 10:00 hari ini.
Apa yang mengagumkan pereka fesyen ikon ini, peminat-peminat sudah beratur sejak subuh lagi di The Gardens untuk mendapatkan koleksi beliau.
Selain gambar, beliau juga berkongsi video orang ramai beratur panjang menunggu bilik pameran tersebut dibuka. Malah ada yang mengadu kecewa kerana tidak dapat membeli produk 'ready stock' dan terpaksa membuat pre-order.
Dalam satu video lagi yang turut dimuatkan di Instagramnya, Dato' Rizalman kelihatan sebak dan mengalirkan air mata melihat sambutan daripada orang ramai yang datang untuk mendapatkan koleksi beliau.
"Siapa yang nombor satu? Sejak pukul lima pagi tadi?
"Terima kasih sangat-sangat! Tak plan pun tadi," kata Rizalman yang turun melihat keadaan peminat-peminat yang beratur menunggu bilik pameran dibuka.
Tahniah Dato' Rizalman.