Pendakwah selebriti direman lima hari sehingga Jumaat ini, bagi membantu siasatan polis berhubung dua laporan polis dibuat terhadapnya di daerah ini atas dakwaan merogol, mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun itu dibenarkan oleh Penolong Pendaftar, Siti Mazrah Mohamad di Bilik Reman Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini, bermula hari ini sehingga 11 Disember ini.

Terdahulu, suspek yang dilihat memakai baju lokap berwarna ungu dan berseluar jingga tiba di perkarangan pintu masuk Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini, kira-kira jam 10.30 pagi dalam keadaan bergari bersama empat suspek kes lain.

Suspek juga sempat menegur dan bertanya khabar kepada pihak media yang hadir ke mahkamah.

“Asslamualaikum, sihat semua? Terima kasih datang, tak da hal…Hal kecik saja. Saya sihat Alhamdulillah, makan semua okay.

"Terima kasih sebab datang, ambil tahu fasal saya,” katanya tenang.

A post shared by ????? ???? (@viral_kini_)

Suspek yang diiringi dua anggota polis kemudian dibawa ke Bilik Reman yang terletak di tingkat satu kompleks mahkamah.

Sebaik proses permohonan reman selesai, suspek dibawa semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Peguam mewakili suspek, Syed Amirul Syed Edros yang ditemui media memaklumkan mahkamah membenarkan perintah reman selama lima hari terhadap anak guamnya bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol.

"Reman lima hari yang dibenarkan hari ini hanya untuk siasatan polis berhubung dakwaan merogol," katanya.

Polis Petaling Jaya sebelum ini menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul).

Polis daerah Petaling Jaya membuat permohonan reman ke atas suspek, bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung dua laporan polis terhadap suspek pada 29 dan 30 November lalu.

Sumber: BHOnline
Video: Instagram @viral_kini_