Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Terima Kasih Semua...Saya Selamat Jalani Radioterapi Sebanyak 35 Kali - Woo Bin

Mya Amri
29/12/2017 14:03 MYT
Pelakon terkenal Korea, Kim Woo Bin mendedahkan selamat menjalani rawatan kanser dan sedang dalam proses penyembuhan.

Woo Bin memberitahu perkara tersebut menerusi akaun media sosial rasminya ‘fan cafe’ khas buat peminatnya hari ini.

Menurut Woo Bin, dia telah melakukan kimoterapi sebanyak tiga kali manakala rawatan radioterapi pula adalah sebanyak 35 kali.

“Tidak tahu bagaimana saya ingin mulakan, sejujurnya memang ingin memberitahu kondisi saya kepada kamu semua.

“Tetapi saya terlalu fokus menerima rawatan dan menjaga kesihatan sehingga tidak sedar tujuh bulan telah berlalu.

“Saya juga agak takut untuk melihat nama saya di enjin carian di internet tetapi saya membuat keputusan untuk menulis tengang keadaan diri saya sebelum tahun ini berakhir.

“Terima kasih kerana memberikan semangat dan mendoakan saya.

“Saya menjalani rawatan kimoterapi sebanyak tiga kali dan radioterapi sebanyak 35 kali.

“Semasa rawatan, saya mendapat kekuatan melalui kata-kata semangat yang diberikan oleh kamu semua melalui media sosial.



“Dengan ikhlas saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kamu semua.

“Saya kini telah selamat menyempurna rawatan yang sepatutnya dan saya hanya perlu menjalani rawatan lanjutan untuk proses penyembuhan,” jelasnya.

Tambah Woo Bin lagi, dia memerlukan sedikit masa sebelum membuat kemunculan semula.

“Saya perlukan sedikit masa sebelum bertemu kamu semua.

“Apabila saya meninggalkan pesanan di sini, saya menasihati kamu supaya menjaga kesihatan.

“Kesihatan adalah perkara paling utama, jadi saya rasa agak malu apabila saya jatuh sakit.

“Saya berjanji akan menjaga kesihatan dengan lebih baik dan cuba yang terbaik supaya dapat memberikan khabar gembira untuk kamu semua di masa akan datang,” tulisnya yang buat pertama kali berkongsi keadaannya selepas tujuh bulan.

Woo Bin disahkan menghidap kanser Nasopharyngeal iaitu sejenis kanser yang berlaku di antara saluran pernafasan dan tekak pada penghujung Mei lalu.

Sumber: Soompi
#Kim Woo Bin #Artis Korea #Kanser
;