Hiburan

“Terima Kasih Sudi Jaga Walaupun Berlainan Agama,” - Netizen Kagum Keluarga India Ini Sanggup Jaga ‘Mak & Ayah’ Melayu

gempak
Hanafis Haris
12/11/2020
07:05 MYT
Sponsor Banner
“Terima Kasih Sudi Jaga Walaupun Berlainan Agama,” - Netizen Kagum Keluarga India Ini Sanggup Jaga ‘Mak & Ayah’ Melayu
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kisah sebuah keluarga beragama Hindu yang bakal menyambut perayaan Deepavali dengan kehadiran ’ayah dan ibu baharu’ yang berbeza bangsa dan agama.
Individu tersebut, L. Linda Kasturi dan R. Karthik tahun kini menetap bersama Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik, 57, dan Rohayati Salleh, 46, yang mesra dipanggil ayah dan ibu sejak enam bulan lalu.
Hakikatnya, mereka tidak pernah saling mengenali sebelum ini.
Menerusi laporan Bernama sebelum ini, Linda berkata Fakhrulzaman dan Rohayati hanya dikenali ketika dia dan suami yang menjalankan perniagaan perabot terpakai, ingin membeli sebuah peti ais yang dijual pasangan itu ekoran kesempitan hidup.
Kehidupan mereka terjejas teruk selepas Fakhrulzaman yang bekerja sebagai tukang masak diberhentikan kerja berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
“Niat saya ketika itu hanya untuk membeli peti ais, namun terbit rasa simpati terhadap nasib ‘ayah’ kehilangan kerja di sebuah restoran sejak PKP dan keadaan itu memaksa mereka menjual barangan dan perabot untuk menyara hidup dan membayar sewa rumah.
“Saya kemudian mengajak ayah dan ibu tinggal bersama kerana rumah mempunyai ruang yang cukup luas dan selesa baginya,” katanya.
Selain itu, Linda turut menjelaskan kehidupan mereka penuh dengan toleransi dalam pelbagai aspek termasuk dalam soal keagamaan dan makanan meskipun berbeza agama dan bangsa.
“Soal makan minum tiada masalah kerana penyediaan makanan di rumah adalah halal dan bersih.
“Saya dan keluarga juga menghormati kepercayaan dan agama dianuti oleh ibu dan ayah dengan menyediakan ruang khas solat kepada mereka,” katanya yang turut menjaga ibunya, S.Kamala Devi, 60.
Kisah berkenaan kemudian mendapat perhatian netizen apabila masih ada insan yang sanggup membantu individu lain biarpun berlainan agama dan bangsa.
“Ini baru 1Malaysia, patut dijadikan contoh. Kami kat kampung pun memang rapat tak kira bangsa,” kata seorang netizen.
“Terima kasih puan Linda sebab sudi jaga walaupun berlainan agama,” kata seorang lagi netizen.
“Inilah yang kita mahukan, mungkin bertelagah di media sosial tapi bila depan-depan kita 1Malaysia,” kata seorang pengguna Facebook.
Sumber: Bernama, Twitter
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live