“Terima Kasih Tidak Pernah Membelakangkan Saya” - Eda Ezrin Syukur Bebas Selepas 9 Bulan Dipenjara di Thailand
Penyanyi dikir barat moden Kelantan, Eda Ezrin meluahkan rasa syukur selepas dibebaskan daripada dibebaskan dari penjara Narathiwat, Thailand selepas ditahan selama hampir sembilan bulan.
Eda atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail mengakui ujian yang dilaluinya bukan sesuatu yang mudah namun mendapat kekuatan untuk terus bertahan daripada doa dan sokongan semua pihak.
"Alhamdulillah tidak ada kata yang dapat menggambarkan rasa syukur dan sebak yang saya rasakan saat ini. Setelah melalui detik-detik yang begitu mencabar dalam hidup, akhirnya saya kembali jejak ke tanah air tercinta.
“Ujian ini bukan mudah namun dengan doa yang tidak pernah putus dari keluarga, sahabat dan anda semua yang ikhlas menyokong dari jauh, saya temui kekuatan untuk terus bertahan," tulisnya di Instagram Stories pada Jumaat.
Dalam perkongsian sama, Eda turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan tanpa mengabaikannya ketika melalui saat sukar.
"Terima kasih kerana tidak pernah membelakangkan saya. Izinkan saya menyusun semula langkah perlahan-lahan dengan penuh harapan dan doa. Moga Allah membalas setiap kebaikan kalian," tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakannya dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas lebih sembilan bulan ditahan.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.
Pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin dan lima yang lain termasuk suaminya didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah.