Wanita yang mengalami masalah obesiti, Wani Comel bertindak membuat laporan polis selepas terdapat segelintir netizen yang melemparkan tohmahan dan kecaman terhadap dirinya.

Menurut Wani atau nama sebenarnya, Nurul Airawani Nazira Ibrahim, dia berasa kesal dengan sikap individu yang suka menganggu kehidupannya sehinggakan mengaitkan arwah ayahnya.

"Selesai laporan polis terhadap mereka yang tak henti-henti ganggu hidup saya dan keluarga saya. Saya juga perlu kehidupan.

"Saya tak ganggu sesiapa pun tapi kenapa semua di luar sana tak habis-habis ganggu saya. Kecam saya dan ahli keluarga saya hingga ke arwah ayah saya.

"Dan ada yang samakan saya dengan muka pembunuh. Apa dosa saya pada awak semua?

"Adakah saya tak berhak untuk hidup seperti mana orang lain? Kenapa masih tak sudah sudah memburukkan saya hina fizikal tubuh badan saya. Adakah saya keji dan jijik sangat di mata anda semua??" tulisnya di Instagram (IG).



Dalam pada itu, Wani mendedahkan identiti individu tidak berperikemanusiaan itu sudah dapat dikenalpasti.

Justeru, Wani berharap agar semua orang lebih berhati-hati selepas ini kerana negara mempunyai undang-undang.

"Pihak saya juga telah dapat mengesan siapa pemilik IG yang guna akaun palsu, details merka semua saya dah dapat.

"Saya harap pada semua berhati-hati dalam setiap penulisan. Negara kita ada undang-undang.

"Hari ini saya teruk dikecam. Esok lusa siapa tahu apa yang jadi pada saya hari ini akan kena pada keluarga korang pula," tulisnya lagi.



Sebelum ini, Wani memuat naik screenshot akaun Facebook (FB) milik @YahKola yang didakwa telah menfitnah dirinya.

"Kepada pemilik akaun FB, Yah Kola. Saya tak kenal awak ya tapi awak komen seolah kenal saya dan terus melemparkan fitnah ke atas saya.

"Apa motif awak komen mcm tu pada saya? Jangan terlalu yakin dalam menulis komen tu. Pihak saya akan ambil tindakan terhadap apa yang awak tulis.

"Beberapa nama pemilik akaun IG dan FB telah pihak saya kenal pasti. Pihak saya bukan bercakap kosong,saya akan teruskan tindakan undang-undang," tulis Wani di entri yang berbeza.