Anggota kumpulan K-Clique, Noki, 27, mula menyedari dirinya menjadi tumpuan wanita berusia apabila ada menerima komen-komen nakal di Instagram (IG).

Bagaimanapun, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji berkata dia enggan mengambil serius kerana menganggap itu sekadar hiburan.

"Selepas kemenangan lagu Gila di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35, memang saya rasa banyak perbezaan..

"Sebelum ini peminat dalam kalangan orang muda yang panggil saya abang tapi sekarang orang lebih berusia pun kenal saya.

"Sampaikan ada satu kejadian lucu apabila seorang wanita yang lebih berusia dari saya menulis komen berbaur lucah pada salah satu foto yang saya muat naik di akaun Instagram.

"Saya hanya ketawa baca komen itu dan anggap gurauan semata-mata.. rasa lucu sebab tak sangka boleh sampai ke tahap itu," katanya kepada Gempak.

Noki ditemui pada majis pengumuman kerjasama antara K-Clique dan Todak yang berlangsung di Shah Alam, baru-baru ini.

Turut hadir bersama adalah pengasas Todak iaitu Khairul Azlan dan Ketua Pegawai Eksekutif Todak Music, Ikmal Fareeq.

Dalam pada itu, Noki menyatakan dia tidak boleh terlalu selesa selepas lagu Gila memenangi Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) hasil nyanyiannya bersama Kaka Azraff dan Loca B.

Malah katanya, kemenangan itu tidak akan menjadikan dia lupa diri tetapi akan terus bekerja keras bagi mengukuhkan nama sebagai anak seni.

"Selepas AJL35, saya kena bekerja lebih keras lagi.. sebelum menang saya boleh nampak perjalanan dengan K-Clique tapi selepas AJL saya tak boleh nak baca apa yang akan berlaku selepas ini.

"Saya akui kemenangan ini sedikit berat tetapi insya-Allah saya akan terus buat yang terbaik. Kalau saya leka dan tak kerja keras, lambat laun orang pun akan lupa.

"Kemenangan ini sama sekali tidak akan mengubah sikap saya.. saya pun ada berjumpa dengan bekas pemenang sebelum ini dan bertanya mereka apa yang perlu, jadi saya ambil apa nasihat yang baik daripada mereka," katanya lagi.