Selepas mendapat sambutan hangat sehingga mencecah kutipan hampir RM13 juta tontonan, filem Pusaka dikhabarkan bakal mempunyai sekuel.

Menurut pengarahnya, Razaisyam Rashid, filem sambungan Pusaka itu kini masih dalam perbincangan dan dijangka bakal memulakan penggambaran tahun hadapan.

“Apa yang boleh saya katakan filem Pusaka akan ada sambungan. Persetujuan secara verbal bersama pihak penebit juga sudah dibuat dan kini ia masih dalam proses pembangunan skrip.

“Bagi jalan ceritanya nanti pula, ia merupakan kesinambungan kepada filem yang pertama dan akan mengekalkan sebahagian besar pelakon asal.

“Bagaimanapun, skrip untuk sekuel filem ini masih dalam proses dan penggambaran filem ini dijangka berlangsung pada tahun depan,” katanya.

Rozaisyam ditemui ketika tayangan drama bersiri eksklusif Astro Go bergenre seram thriller, Sembilan di MBO Starling, Damansara Utama, Petaling Jaya, malam tadi.

Filem Pusaka merupakan karya terbaru terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Director's Think Thank dan dipersembahkan oleh produksi Alpha 47.

Filem ini menampilkan pelakon hebat seperti seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Faizal Hussein, Sweet Qismina, Hafidz Roshdi, Aleza Shadan, Yuna Rahim dan ramai lagi.

Filem Pusaka masih ditayangkan di pawagam sejak 31 Oktober yang lalu!