HIBURAN

Terima Pujian Daripada Dian Sastrowardoyo, Idan Aedan Terkejut - “Setiap Babak Kami Akan…”

Umirah Halim 21/08/2025 | 12:55 MYT
Pelakon muda berbakat, Idan Aedan tidak menyangka apabila menerima pujian daripada aktres tersohor Indonesia, Dian Sastrowardoyo yang menyifatkannya sebagai seorang pelakon sangat baik hati.


Menurut Idan, 21, ketika dimaklumkan mengenai kenyataan itu, dia sendiri agak terkejut kerana tidak pernah menjangkakan pujian sedemikian datang daripada nama besar sepertinya.


“Saya sangat terkejut. Ia adalah proses mencabar dan sukar juga untuk melakonkan filem itu, tetapi dia (Dian) seperti sebuah berlian dalam dunia yang penuh dengan batu.


“Dia sangat baik, sangat memberi di set, malah mudah untuk berbincang. Setiap babak kami akan duduk berbincang dulu tentang bagaimana dinamiknya akan jadi. Itu membuatkan saya rasa lebih yakin ketika di lokasi,”katanya ketika ditemui Gempak.


Menurut Idan, pengalaman berlakon dalam filem berjudul Fox King itu cukup mencabar kerana setiap babak menuntut persediaan rapi serta perbincangan panjang dengan barisan pelakon termasuk Dian sendiri.


“Kerana setiap scene, kita akan berbincang dulu bagaimana tentang bagaimana dinamiknya akan jadi dan sebagainya. Jadi saya sangat tidak sangka untuk menerima pujian seperti itu kerana nama dia besar.


“Maksud saya, terima kasih. Saya sangat gembira untuk dapat walaupun berada dalam proses produksi itu,”jelasnya lagi.


Sebelum ini, Dian dalam satu temu bual memuji kemampuan Idan Aedan sepanjang pembikinan Fox King.


“Saya juga dapat bekerjasama dengan pelakon dari Malaysia seperti Idan Aedan. Dia seorang pelakon yang sangat baik hati,” kata Dian.


Menerusi perkembangan lain, Idan bakal muncul dengan filem baharu berjudul Abah Saya Uncle Mike yang diinpirasikan daripada kisah benar.


Dalam naskhah bergenre drama yang akan menemui penonton di pawagam bermula 28 Ogos ini, Idan memegang watak sebagai Rafei, abang sulung daripada tiga adik beradik yatim piatu yang kemudian dijaga oleh seorang lelaki Cina, Uncle Mike (lakonan Andy Teh).


Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki yang membesarkan tiga anak Melayu yatim piatu sejak kecil, lengkap dengan kasih sayang dan bimbingan rohani termasuk penghormatan terhadap agama Islam.


Dedikasi Uncle Mike turut diiktiraf apabila beliau dianugerahkan Anugerah Maulidur Rasul 2024 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas jasa dan pengorbanannya yang luar biasa.


Terbitan Astro Shaw bersama Etika Sdn. Bhd., Abah Saya Uncle Mike mengetengahkan tema kekeluargaan, perpaduan dan kasih sayang merentas bangsa. Ia dibintangi Andy Teh bersama pelakon muda berbakat seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, dan turut menggunakan tiga bahasa, Melayu, Mandarin dan Kantonis.


Sinopsis


Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang kejam bersama adik-adiknya. Namun, mereka akhirnya terpisah. Dalam perjuangan menyatukan semula keluarga, mereka dipertemukan dengan Uncle Mike, lelaki Cina berhati emas yang mengubah takdir hidup mereka.


Filem ini menegaskan bahawa keluarga bukan sekadar pertalian darah, dan kasih sayang sejati tidak mengenal kaum mahupun agama.

#Idan Aedan #dian #sastrowardoyo