Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Terima Satu Laporan Polis, Penganjur Majlis Tahnik Anak Siti Nurhaliza Dipanggil Bantu Siasatan

Zulaikha Yusof
03/05/2021 09:21 MYT
Polis akan memanggil penganjur majlis tahnik anak Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya sudah mengenalpasti penganjur majlis dan akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Pada jam 11.24 pagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengesan satu artikel berkaitan ketidakpuasan hati netizen dalam satu majlis yang diadakan oleh seorang selebriti tanah air di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor.

"Terdapat juga beberapa gambar di dalam artikel menunjukkan kehadiran beberapa individu kenamaan dan penceramah agama terkenal ke majlis berkenaan.

"Susulan itu, IPD Ampang Jaya menerima satu laporan polis berkaitan isu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, siasatan kes sedang dijalankan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa sensitif dan mengutamakan SOP dalam sebarang aktiviti yang dijalankan.

"Polis juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih lagi dalam peringkat siasatan," katanya lagi.

Terdahulu, pengguna media sosial mempersoalkan isu kehadiran individu-individu ternama ke majlis tahnik yang diadakan oleh penyanyi terkemuka tanah air, Siti Nurhaliza.

Antara yang dapat dilihat hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tiga penceramah terkenal iaitu Azhar Idrus, Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.

Warganet mempersoalkan kehadiran Zulkifli dan Azhar Idrus yang dikatakan merentas negeri kerana menetap di luar dari kawasan Selangor mahupun Kuala Lumpur.

Bagaimanapun hari ini, Siti Nurhaliza dan suami, Datuk K tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan tersebut dan memohon maaf sekiranya majlis tersebut telah menyebabkan salah faham sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

BACA: Majlis Tahnik Anak Didakwa Langgar SOP, Ini Penjelasan Siti Nurhaliza & Datuk Khalid



Sumber: Harian Metro
#Siti Nurhaliza #Polis #Penganjur #Majlis Tahnik Anak
;