Pempengaruh Aisar Khaled selesai membuat laporan polis di balai polis daerah Gombak pada Jumaat berhubung ugutan bunuh yang diterima menerusi media sosial baru-baru ini.

Kongsi Aisar di Instagram, kesalahan terbabit merupakan satu jenayah dan menasihati orang ramai agar segera bertindak sekiranya berdepan situasi sama sepertinya.

"Ugutan! Semenjak akhir-akhir ini aisar menerima banyak sangat ugutan dan ancaman. Ugutan adalah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan.

"Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit

"Nasihat saya kepada semua rakan rakan di social media yang ada menerima ugutan & lain lain buat sahaja report polis kerana ini dapat melindungi diri kita daripada ancaman," katanya bersama tanda pagar #ugutanbukangurauan.



Aisar turut berkongsi foto dan sepotong video individu menggunakan filter topeng muka sambil memegang pisau yang mengugut untuk mencederakannya.

"Woi Aisar Khaled, kau tengok ni. Malam ni aku akan serbu rumah kau, aku akan tikam kau dan badan kau akan aku kerat semua 14 kali. Kau tengoklah. Hari pembalasan kau akan tiba juga, aku tak main-main, aku serius.

"Lagi satu, kalau lu (kau) berani sebarkan video ini, berani buat report polis, gua (aku) akan pastikan hidup lu takkan aman tenteram punya. Percayalah cakap gua. Dahlah goblok," kata individu berkenaan.

Aisar turut berkongsi keterangan kanun jenayah berkenaan yang mana individu yang melakukan kesalahan dengan cara mengugut hendak menyebabkan kematian atau cedera boleh berdepan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.