Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Terima Ugutan Selepas Kritik Prestasi Lee Zii Jia, Hafizal Hamad Buat Laporan Polis

Azwa Rahman
01/09/2022 00:43 MYT
Pengulas sukan Astro ARENA, Hafizal Hamad menerima ugutan daripada seorang individu susulan kritikannya terhadap prestasi pemain badminton negara, Lee Zii Jia yang didakwa semakin merosot.

Hafizal tampil membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada Rabu selepas menerima ugutan di akaun Instagram miliknya pada 27 Ogos yang lalu.

Laporan tersebut dibuat berikutan Hafizal atau lebih mesra disapa Pak Long berasa bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya.

Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, komen pengulas sukan itu berkemungkinan mencetuskan perasaan tidak puas hati terhadap pihak tertentu.

“Pengadu telah membuat laporan polis pada 31 Ogos 2022 kerana mesej berkenaan mendatangkan kegusaran kepada pengadu sekeluarga.

“Hasil siasatan awal pihak polis, pengadu ada menyentuh berkenaan kemerosotan pemain badminton negara Lee Zii Jia semasa mengulas dalam rancangan ‘Nindia Pak Long’,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menerusi pemerhatian Gempak, Hafizal juga telah menukar tetapan akaun Instagramnya kepada ‘private’.

Sementara itu di laman sosial Twitter, ramai wargamaya berpendapat ugutan yang diterima Hafizal bersifat melampau dan keterlaluan.

Malah, ada yang turut membandingkan peminat sukan badminton dan sukan bola sepak yang dikatakan terlalu ekstrem.

“Aku rasa fan bola sepak jauh lagi kasar kalau bab membahan, tapi tak pernah sampai mengugut orang, lagi-lagi mengugut orang yang dah sangat berpengalaman dalam media sukan Malaysia. Fan badminton, punya bangang, sampai ugut Pak Long kita ni. Moga yang bersalah dihukum setimpal,” luah seorang wargamaya.

“Alah, tengok badminton pon bukannya pasal minat pon, tapi lebih kepada nak tengok rupa player. Kalau betul-betul fans badminton takdenya perangai camni,” sokong seorang wargamaya.

“Aku yang minat badminton pun tak camni. Korang yang "gila babi" minat LZJ sampai tahap camni, lagi buat player tu mental breakdown kaw kaw. Kalau minat badminton sebab rupa, korang dah boleh stop kot. Kalau korang minat sukan, aku rasa kau pun bengkek sebab LZJ keluar BAM. Just Stop,” gesa seorang wargamaya.

“Aku rasa dalam kes ni Lee Zii Jia yang akan kena tempias. Rasa semua masing-masing boleh stop kut cakap pasal Lee Zii Jia. Yang fans support Jia boleh. Tapi tak perlu kut sampai nk ugut-ugut bagi. Seorang fan buat perangai rosak fans sebelanga..hmm,” komen seorang wargamaya lagi.

Untuk rekod, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

#Lee Zii Jia #Hafizal Hamad #Hafizal Hamad diugut
;