Hiburan
Teringin Jumpa Doraemon, Shahrol Shiro Mahu Bawa Isteri Honeymoon di Jepun
Pelawak Shahrol Shiro ingin membawa isterinya, Anna Danisha berbulan madu di negara matahari terbit, Jepun.
Semuanya gara-gara keinginan Shahrol atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi, 31, untuk bertemu dengan karakter kartun terkemuka Jepun, Doraemon.
"Salah satu aktiviti kegemaran saya sebelum tidur adalah menonton kartun Doraemon. Saya memang seorang peminat tegar karakter kucing robot itu dan memasang impian untuk ke Jepun.
"Jadi, saya mahu membawa isteri ke sana dan kami telah bersepakat mahu menjadikan negara Jepun sebagai salah satu destinasi bulan madu. Tempat wajib yang bakal dikunjungi di sana adalah Muzium Doraemon. Namun begitu, tarikh bulan madu kami belum ditetapkan lagi," kata Shahrol kepada Astro Gempak.
Mendirikan rumah tangga dengan Anna Danisha atau nama sebenarnya Nor Farhanah Syamimi Shahri, 26, pada 18 Mac lalu di Kluang, Johor, mereka tidak meletakkan sebarang perancangan berkenaan dengan zuriat.
"Kami tidak merancang soal anak. Jika ada rezeki untuk menimang cahaya mata dalam waktu terdekat, kami terima sahaja. Saya bersyukur kerana Anna merupakan seorang wanita yang mempunyai keserasian dengan saya. Dia juga menerima dan melayan anak saya, Adam Danish, 7, seperti anak sendiri," katanya yang ditemui di majlis resepsi perkahwinan mereka di Laman Pengantin Taman Melawati baru-baru ini.
Sementara itu, Anna menjelaskan yang dia terpikat dengan sifat Shahrol yang bertanggungjawab dan matang.
"Shahrol seorang yang jejaka yang baik. Dia juga mempunyai sifat yang sangat cool. Sebagai contoh, jika kami ada perselisihan faham, dia sentiasa menjadi seorang yang matang dan mahu menyelesaikannya secepat mungkin.
"Kata Shahrol, dia tidak mahu 'bergaduh' lama-lama. Komunikasi adalah perkara yang sangat penting dalam hubungan kami berdua," kata Anna.