VIRAL
"Teringin Nak Jumpa, Wajahnya Persis Mak" - Lelaki Luah Hasrat Ingin Bertemu Wan Maimunah
Seorang lelaki meluahkan hasrat mendalam untuk bertemu pelakon veteran, Wan Maimunah, kerana wajahnya yang mengingatkannya kepada arwah ibu yang telah meninggal dunia 19 tahun lalu.
Dalam satu hantaran yang dikongsi di media sosial, lelaki tersebut menyatakan bahawa perasaan bersalah masih menghantuinya hingga ke hari ini.
Dia percaya bahawa bertemu Wan Maimunah mungkin dapat membantunya melepaskan beban yang telah lama digalas.
"Assalamualaikum, tahun ini saya nak tebal muka sikit. Saya tahu Wan Maimunah ada di Terengganu niaga ayam bakar, tapi agak-agak raya tahun ni beliau ada dekat mana ye?"
"Saya teringin nak jumpa dia sebab wajah dia persis arwah mak. Arwah mak meninggal 19 tahun lepas tapi perasaan bersalah tu masih saya simpan sampai sekarang.
"Cuma berharap tahun ini... saya boleh lepaskan beban, masalah, dosa yang saya galas selama 19 tahun ini," luah lelaki itu dengan penuh emosi.
Hantaran tersebut segera menarik perhatian netizen, yang rata-rata tersentuh dengan luahan hatinya. Ramai yang mendoakan agar impian lelaki tersebut untuk bertemu Wan Maimunah dapat direalisasikan.
"Semoga dipermudahkan urusan abang ni. Besar betul kasih sayang dia pada arwah ibu.
"Moga tercapai hajat dan segala rasa bersalah yang dia tanggung selama ini dapat dileraikan," tulis beberapa warganet.
Ada juga yang memahami perasaan rindu yang mendalam terhadap ibu tersayang, terutama bagi mereka yang telah kehilangan insan tercinta.
Selain itu, tidak dinafikan bahawa Wan Maimunah sememangnya dikenali sebagai seorang pelakon yang sering membawakan watak ibu penyayang dalam drama dan filem tempatan.
Personalitinya yang lembut serta wajahnya yang keibuan menjadikannya figura yang dihormati dan disayangi ramai.
Bagi lelaki ini, wajah Wan Maimunah bukan sekadar mengingatkannya kepada ibunya, tetapi juga menjadi simbol kasih sayang dan pengampunan yang selama ini dinanti-nantikannya.
Sumber: Threads Syukrie Sufian