Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Terjawab Akhirnya, Fyna Jebat Mengaku Sudah Berkahwin Dengan Datuk Zainal Abidin

Gempak
08/01/2023 18:02 MYT
Akhirnya teka teki berhubung status hubungan antara penyanyi, Fyna Jebat dengan Datuk Zainal Abidin Hassan, 61, terjawab selepas dia mengakui sudah bergelar isteri kepada jurulatih dan juga bekas pemain bola sepak itu.

“Alhamdulillah, saya telah pun bernikah. Terima kasih banyak-banyak. Harap doakan saya dan keluarga," kata Fyna seperti dilapor Harian Metro.

Bagaimanapun Fyna atau nama sebenar, Nur Syafinaz Jebat, 29, yang juga adik kepada penyanyi terkenal Ayda Jebat berkata, dia tidak dapat mengulas butiran terperinci mengenai majlis pernikahannya itu.

“Apa yang saya boleh beritahu, suami beri sokongan untuk saya memasuki Famili Duo," katanya.

Sementara itu, Ayda pula berkata, dia berasa lega dengan pendedahan adiknya itu kepada pihak media.

“Rasanya, tidak ada apa yang perlu diluahkan lagi. Saya bangga apabila adik saya dapat dedahkan pada semua orang. Buat masa ini fokus kami pada Family Duo,” jelasnya.

Terdahulu, tular mengenai laporan seorang bekas jurulatih Liga Super berusia lingkungan 60-an berkahwin kali kedua dengan wanita berusia 29 tahun.

Dikhabarkan wanita yang dikahwini itu merupakan seorang artis yang juga adik kepada pelakon dan penyanyi terkenal tanah air.

Menurut sumber, pasangan terbabit berkahwin, baru-baru ini, namun hanya diketahui individu dan ahli keluarga terdekat sahaja.

Untuk rekod, jurulatih berkenaan berkahwin kali pertama pada 1980-an dan dikurniakan tiga anak.

Zainal Abidin cukup terkenal sebagai penyerang skuad kebangsaan era 1980-an dan 90-an yang membantu Malaysia meraih pelbagai kejayaan.

Sumber: HARIAN METRO

#Kahwin #Ayda Jebat #Bola Sepak #Adik Ayda Jebat #Bekas Pemain Bola Sepak #Datuk Zainal Abidin #Fyna Jebat #Jurulatih Bola Sepak
;