Terjun Kolam Renang Pakai Jubah Konvokesyen, Ini Penjelasan Pandelela Rinong

Amri Hassan
Oktober 29, 2018 03:15 MYT
Tular sepotong video memaparkan aksi terjunan papan anjal milik penerjun negara, Pandelela Rinong.
Bukan biasa-biasa apabila aksi itu menyaksikan Pandelela masih menyarung jubah konvokesyen sempena meraikan kejayaannya menggenggam ijazah sulungnya dan terjun ke kolam renang.
Bagaimanapun, aksi terjunan berjubah konvokesyen Pandelela mendapat reaksi kurang senang dalam kalangan netizen hingga ada yang menyifatkan ia tidak menghormati pakaian tersebut.
Namun, Pandelela, 25, punyai jawapannya sendiri!
"Kalau anda merancang untuk mengadakan 'wet party' lebih baik anda beli jubah konvokesyen bersama papan mortarnya sekali," tulis Pandelela menjelaskan situasi sebenar.
Pandelela turut mengagumi rekaan dan warna jubah yang dipakai sempena hari graduasinya baru-baru ini.
"Adakah anda menyukai jubah graduasi anda? Memandangkan saya sangat sukakan warna dan rekaannya, saya ucapkan tahniah buat UM (Universiti Malaya) untuk jubah graduasi ini.
"Saya sangat gembira apabila dapat membelinya dan menggantung di rumah.
"Manalah tahu boleh menyuntik motivasi untuk saya menyambung pelajaran selepas Tokyo 2020," tambahnya.
Pandelela menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya minggu lalu.
Pandelela mula mendaftar sebagai siswazah di UM selepas mencatat sejarah sebagai pemenang pingat wanita pertama negara yang memenangi pingat di Olimpik 2012 apabila memenangi gangsa acara 10m platform individu wanita.
#Pandelela Rinong #Konvokesyen #Terjun