Pelakon filem Gol & Gincu 2, Sazzy Falak mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lebih lanjut berhubung dakwaan seorang hos televisyen popular menerusi Instastories baru-baru ini.

Kata Sazzy menerusi rakaman video, dia terkejut dengan situasi yang berlaku dan hanya menumpukan perkara lebih baik berbanding isu terbabit.

"Saya mendapat kiriman mesej dan Whatsapp bertanyakan khabar dan ya saya okey Alhamdulillah.

"Cuma saya sedikit terkejut dengan ugutan dan segalanya.

"Saya masih di US (Amerika Syarikat) dan dimaklumkan mengenai seorang individu ini yang mengugut dan cakap macam-macam di Instastoriesnya.

"Tapi jangan bimbang, apabila timbul perkara sebegini saya hanya akan fokus pada perkara baik-baik," kata Sazzy.

Kelmarin, seorang hos televisyen popular memohon penjelasan daripada Sazzy selaku saksi yang melihat krisis rumah tangga pasangan terbabit.





Ketegangan antara hos televisyen terbabit dan Sazzy difahamkan tercetus daripada tindakan Sazzy yang menyokong isterinya dalam sebuah posting di Instastory baru-baru ini.

Lebih panas, dedah lelaki berkenaan Sazzy berada dalam keadaan mabuk sewaktu berada di kediamannya (sebuah villa) ketika berlaku perselisihan faham antara pasangan terbabit.