Penyanyi Ara Johari merasakan persembahan lagu Bunga yang disampaikan sewaktu malam Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) Ahad lalu sebagai momen balas dendam.

"Saya rasa macam dendam saya berbalas. Semuanya kerana kejadian tahun lalu yang menyaksikan kesihatan saya merosot dan tidak dapat mempersembahkan lagu Warkah Untukku dengan sepenuh tenaga di AJL 32.

"Alhamdulillah, AJL 33 menyaksikan saya dapat membawakan lagu Bunga dengan keadaan kesihatan yang mengizinkan... Saya mencuba untuk memberikan persembahan terbaik untuk semua peminat dan penyokong," kata Ara.

Tambah Ara, dia juga terkejut kerana lagu Bunga dapat meraih gelaran naib juara AJL 33.

"Saya memang terkejut dan tak sangka. Saya hanya mahu memberikan persembahan terbaik kerana saya tak mahu peristiwa tahun lalu berulang.

"Tetapi, rezeki berpihak kepada lagu yang saya nyanyikan dan saya rasa sangat bersyukur. Terima kasih kepada Hang Nadim, Laq dan Kadok kerana mencipta lagu yang bagus untuk saya nyanyikan. Saya tak sabar untuk berkolaborasi dengan mereka sekali lagi," katanya.

Meriah tempat kedua, Hang Nadim, Laq, Kadok dan Ara berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM35,000 bersama trofi.