Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Terkena Budaya 'Cancel', Johnny Depp: "Tak Ada Siapapun Akan Selamat"

Maliah Surip
24/09/2021 14:45 MYT
Pesohor sensasi Hollywood, Johnny Depp bagai melepaskan perasaan apabila 'dapat bersuara' sewaktu menerima anugerah tertinggi, Donostia Award dalam San Sebastian International Film Festival di Sepanyol pada Rabu.

Depp saat itu yang ditanya oleh media mengenai kariernya yang merudum sejak kalah terhadap kes mengasari isterinya, aktres Amber Heard mengaku dirinya telah menjadi mangsa cancel culture atau budaya cancel (boikot) terutama dalam bidang perfileman.

"Ini adalah situasi yang sukar dengan budaya cancel dan bagaimana orang cepat menjatuhkan hukuman tak berasas hanya dengan mendengar khabar angin," jawab Depp seperti dilaporkan AP.

Menurut aktor yang cukup ikonik dengan karakter Captain Jack Sparrow dari filem francais lakonannya, Pirates of the Caribbean itu lagi, saat ini tidak ada siapapun yang terselamat daripada tidak mengalami budaya cancel.

"Kita tidak boleh menghalangnya. Saya boleh pastikan tiada siapa yang selamat (terkena budaya cancel). Tidak seorang pun selagi sesiapa juga boleh menyampaikan hal sedemikian (gosip)," tambahnya lagi.

Terdahulu nama bintang berusia 58 tahun ini digugurkan oleh Warner Bros dari naskhah Fantastic Beasts selepas didapati bersalah melakukan kekerasan domestik terhadap isterinya.

Beliau yang membina nama dan reputasi sejak lebih dua dekad itu juga dilaporkan terlepas banyak peluang lain dan kariernya tergugat hanya kerana kes tersebut.

Malah selepas menerima anugerah daripada festival tersebut, Depp dan pihak penganjur menerima kritikan daripada kumpulan sutradara wanita Sepanyol yang menyifatkan mereka telah merosakkan imej dan memberi mesej yang salah kepada mangsa dalam kekerasan gender.

Mereka berpendapat, anugerah tertinggi itu tidak layak diberikan kepada seorang tokoh hanya kerana pencapaian karier profesional sahaja sebaliknya perlu dinilai dari segenap aspek.

Foto: AP
#Hollywood #Filem #Amber Heard #Johnny Depp #Aktor #Anugerah #Cancel Culture
;