Hiburan
"Terkilan Tak Dapat Jumpa Anak Saudara, Nak Tengok di Media Sosial Tak Boleh Sebab Dah Kena Block…” – Ali Puteh
Pelawak Ali Puteh mengakui hubungan kekeluargaan di antara kakak iparnya Siti Nurhidayah Mohd Ali terputus akibat kontroversi berlaku tidak lama dahulu.
Biarpun sudah lama melupakan kontroversi antara dirinya dan kakak ipar, Siti Nurhidayah Mohd Ali, namun, ada hakikat yang perlu diterima Ali atas apa yang berlaku.
Sejak krisis membabitkan dakwaan membolot harta peninggalan abang, Allahyarham Abam Bocey tercetus, Ali mengaku hubungan kekeluargaan kedua-dua belah pihak terputus.
Malah, Ali mendakwa, niat bersemuka dan menjernihkan keadaan terbantut apabila semua peluang berkomunikasi termasuk menerusi media sosial disekat.
Cuma jauh di sudut hati, terbit rasa rindu untuk melihat wajah satu-satunya zuriat yang ditinggalkan arwah abang, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia 10 bulan.
"Sejak insiden itu, hubungan kami terputus. Malah, kami disekat di media sosial oleh seluruh anggota keluarganya.
"Saya faham, selepas apa yang berlaku, situasi menjadi semakin sukar.
"Cuma terkilan apabila tidak dapat berjumpa anak saudara. Hendak tengok di media sosial mereka tidak boleh sebab sudah disekat.
"Mujur bekas pemandu arwah memuat naik foto atau video Uthman di media sosialnya, dapat kami menumpang tengok sambil melepaskan rindu," katanya.
"Insya-Allah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, saya berhasrat bertemu isteri arwah dan keluarganya untuk menjernihkan keadaan. Kami mahu melihat anak buah yang amat dirindui itu.
"Buat masa ini, biarlah saya tengok Uthman dalam media sosial sahaja. Dapat melihat dia sihat dan membesar dengan sempurna sudah cukup menggembirakan kami sekeluarga," luah Ali.
Sebelum ini, dilaporkan, anggota kumpulan Puteh ini pernah melahirkan hasrat untuk bertemu kakak iparnya itu secara tertutup untuk meminta maaf.
Sumber: BH Online