Selangor FC mengambil keputusan enggan beraksi dalam Piala Sumbangsih 2024 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.

Berita itu dimaklumkan menerusi akaun Instagram rasmi, Selangor FC pada Rabu.

Keputusan itu diambil setelah penelitian dan perbicangan terperinci dijalankan dengan pelbagai pihak berikutan rentetan insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam.

“Selangor FC telah mengambil maklum keputusan MFL untuk tetap meneruskan perlawanan
Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2024 ini.

“Pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke Perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan.

"Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan serta ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan," maklum hantaran tersebut.

A post shared by Official Selangor FC (@selangorfc)


Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan aksi itu selepas mengadakan mesyuarat dan perbincangan pada petang Rabu.

Menurut badan pengelola itu, keputusan meneruskan perlawanan sumbangsih dibuat selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pihak polis yang akan meningkatkan tahap keselamatan pada hari perlawanan.

Dianggarkan seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.