Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Laman Utama

“Terlalu Banyak Permintaan Review Produk, Ada Kala Haziq Stress” - Ibu

Awani 07/02/2022 | 05:30 MYT
Semenjak namanya masyhur, adik Muhammad Haziq Mohd Asyraf terus menjadi buruan.

Popularitinya sebagai personaliti media sosial menjadi perhatian usahawan-usahawan dan syarikat-syarikat yang memasarkan produk.

Hasrat mereka mahu merebut peluang populariti Muhammad Haziq mengulas dan sekali gus mempromosikan barangan dagangan mereka.

Justeru, sejak seminggu lalu, Muhammad Haziq tidak menang tangan kerana terlalu banyak panggilan diterima daripada peniaga sehingga ada beberapa ketika mengakibatkan pelajar berusia 12 tahun itu ‘tertekan’.

Berkongsi perkembangan terbaharu Muhammad Haziq, ibunya, Nur Shakilla Zainol, 33, berkata, enggan anaknya ‘terbeban’ dengan situasi itu, dia dan suami sentiasa memantau jadual anak mereka bagi mengelakkan sesi pembelajaran kanak-kanak itu tidak terganggu dengan populariti yang diraih ketika ini.

Kata Nur Shakilla, kerana mahu memastikan Muhammad Haziq mendapat rehat yang secukupnya, sebanyak 20 tawaran bagi membuat ‘review’ produk dalam minggu ini ditolak mereka.

Nur Shakilla berkata, Muhammad Haziq ada bersuara yang dia mula ‘tertekan’ kerana panggilan telefon bertalu-talu diterimanya.

"Sekarang ini hari Rabu dan Khamis dia bersekolah… (dia) tidak boleh (buat) sebarang aktiviti (seperti mengulas produk) nanti dia letih, dia kena rehat banyak.

"(Sebenarnya) banyak (tolak jemputan), dalam 20 macam itu untuk minggu ini sahaja, jemputan macam review produk, (saya) bagi alasan dia tidak sihat (dan) bersekolah.

"Haziq (ini sebenarnya) okey, dia macam kalau (kena buat perkara yang) dia minat memang dia nak, kalau tak minat (kita) tidak boleh nak paksa," kata Nur Shakilla lagi.

Nur Shakilla berkata demikian ketika ditemui media selepas program merealisasikan hajat Muhammad Haziq yang ingin menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau, Subberi Salleh mengharapkan pihak tertentu tidak mengganggu Muhammad Haziq ketika sesi atau waktu pelajaran sehingga menyebabkan kanak-kanak itu tidak hadir ke sekolah.

Beliau turut menasihati agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan di atas populariti Muhammad Haziq kerana tindakan itu akan memberi kesan kepada pembelajaran kanak-kanak itu.

Apatah lagi, Muhammad Haziq, kata Subberi, akan menduduki peperiksaan penggal ketiga sebelum bercuti dalam tempoh dua minggu lagi.

"Harapan kita walaupun dia (Muhammad Haziq) popular, janganlah sampai dia ketinggalan dalam pelajaran, jadi apa aktiviti yang dilakukan oleh Haziq ketika ini banyak tertumpu kepada luar bilik darjah.

“Kita berharap pihak waris atau keluarga dapat mengatur waktu yang sesuai untuk dia berada di luar sekolah (atau) untuk dia menerima jemputan supaya sesi pembelajaran dia terus tidak terganggu.

“Ini untuk menjamin masa depan dia, walaupun dia berminat dengan acara yang dianjurkan beberapa pihak, kita harap jangan ganggu pelajaran dia," jelas Subberi lagi.

Muhammad Haziq sebelum ini meraih perhatian netizen dan menjadi popular selepas videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di Pasar Bukit Selambau, tular baru-baru ini.

Video tersebut yang dimuat naik di Facebook Putra Mar pada 24 Januari lepas sehingga kini telah menerima sebanyak lebih 1.2 juta tontonan.

Kepetahan kanak-kanak itu menyampaikan sesuatu maklumat juga terbukti apabila diberikan peluang oleh Astro AWANI bagi menyampaikan laporan mengenai Pasar Pagi Bukit Selambau penghujung bulan lalu.

AWANI

#Haziq #Review Produk #Wartawan Cilik
;