Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
TERKINI

Terlampau Paranoid COVID-19, Ibu Bapa Kurung Anak Lebih Tiga Tahun

Gempak 08/05/2025 | 11:55 MYT

Tiga kanak-kanak berjaya diselamatkan polis Sepanyol baru-baru ini, selepas dikurung lebih tiga tahun oleh ibu bapa mereka yang terlalu paranoid terhadap jangkitan COVID-19.

Kes mengejutkan itu terbongkar hasil tindakan seorang jiran prihatin yang memerhati rumah berkenaan sejak pandemik COVID-19.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Silvia, mengesyaki sesuatu yang tidak kena selepas menyedari hanya si bapa keluar membeli barang keperluan, sementara tingkap bilik kanak-kanak hanya dibuka seketika setiap hari sekitar jam 5:10 petang (waktu tempatan).

Apa yang lebih membimbangkan, Silvia turut melihat penghantaran lampin pakai buang secara konsisten walaupun usia kanak-kanak terbabit sudah mencecah 8 dan 10 tahun.

Bertindak atas maklumat itu, polis melakukan siasatan dan menemui keadaan yang digambarkan media Sepanyol sebagai 'rumah neraka'.

Pasangan warga Jerman-Amerika, Christian Steffen, 53, dan isterinya Melissa Ann Steffen, 48, dilaporkan berpindah dari Jerman ke Oviedo pada 2021 bersama tiga anak mereka, sepasang kembar berusia 8 tahun dan seorang anak lagi berusia 10 tahun.

Ketika diselamatkan, ketiga-tiga kanak-kanak itu masih memakai lampin dan hanya berpakaian baju tidur serta stoking khas.

Mereka langsung tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh itu, malah dipaksa memakai tiga lapis pelitup muka pada setiap masa.

Lebih menyedihkan, siasatan perubatan mendapati mereka mengalami sembelit kronik kerana dilarang menggunakan tandas.

Ibu bapa mereka mengarahkan supaya mereka hanya membuang air besar di dalam lampin, menyebabkan kanak-kanak terbabit cuba menahan diri selama mungkin.

Polis turut menemui puluhan mesin penapis ozon yang beroperasi tanpa henti di dalam rumah.

Bil elektrik dan air juga amat tinggi dipercayai akibat penggunaan berlebihan penapis udara dan tabiat mandi berulang kali oleh pasangan itu.

Pakar Psikologi mengesyaki pasangan tersebut mungkin menghidap masalah mental yang dikenali sebagai 'Sindrom Covid', iaitu ketakutan melampau terhadap jangkitan virus.

Difahamkan, sebelum berpindah ke Sepanyol, pasangan berkenaan pernah memohon kebenaran agar anak-anak mereka dikecualikan daripada hadir ke sekolah di Jerman namun ditolak.

Malah pihak sekolah memaklumkan akan merujuk kes itu kepada kebajikan masyarakat, menyebabkan mereka memilih untuk berpindah ke negara lain.

Polis turut menemui beberapa buku pembelajaran dan lukisan kanak-kanak tersebut termasuk imej menyeramkan seperti raksasa di atas katil, dipercayai melambangkan ketakutan yang dialami mereka.

Ketika dibawa keluar ke taman belakang rumah buat pertama kali selepas lebih tiga tahun, ketiga-tiga mereka dilaporkan menangis ketakutan tanda mereka mengalami trauma akibat dikurung terlalu lama.

Pasangan itu kini berdepan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun, namun tempoh hukuman boleh ditambah sekiranya dakwaan baharu dikemukakan.

Polis Sepanyol mengesahkan bahawa pendedahan Silvia menjadi kunci utama menyelamatkan tiga kanak-kanak malang itu daripada terus dizalimi oleh ibu bapa sendiri.

Sumber: Sinar Harian

#Ibu Bapa #COVID-19 #Kurung Anak