"Terlompat-Lompat, Meliuk-Lentok...Yang Dewasa Tak Perlulah" - Yatt Hamzah Minta Gunakan TikTok Untuk Content Bermanfaat

ZULHILMI JALIL
April 6, 2020 07:39 MYT
Pelakon Yatt Hamzah menasihati orang ramai agar berhenti daripada menggunakan aplikasi TikTok yang kini menjadi ikutan ramai dengan menghasilkan kandungan yang tidak mendatangkan manfaat.
Menurut Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 40, aplikasi tersebut sepatutnya digunakan dengan cara yang betul dalam mendidik orang ramai tatkala negara kini sedang dilanda musibah dengan penularan Covid-19.
"Cukup-cukuplah TikTok melainkan benda-benda yang mendidik dan bermanfaat. Hentikanlah perkara sia-sia dan mengundang maksiat.
"Ok macam bonda kata sebelum ini, TikTok tak salah kalau contentnya tak lagha (sia-sia). TikTok terlompat-lompat, meliuk-lentok, okay kalau kanak-kanak bawah umur yang buat, yang dewasa tak perlulah," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Begitupun, kata Yatt, masyarakat mungkin boleh menghasilkan content yang lebih mendatangkan kebaikan kepada umum dengan menggunakan aplikasi tersebut.
"Kita TikTok yang okay, bermanfaat sikit contohnya TikTok cara-cara cuci tangan, pakai sanitizer, pakai penutup mulut, TikTok mengaji , cara-cara solat ke, untuk bisnes pun okay asalkan patuh syariah. Haa ok x? Korang ada idea," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Perkongsian Yatt itu kemudian menerima respons positif dalam kalangan pengikutnya yang mana rata-rata bersetuju dengan pandangannya itu.
"Betul, setuju dengan bonda, lebih-lebih lagi wanita, dah hilang rasa malu, terjoget situ sini, benda lagha.
"Dulu banyak remaja yang buat, sekarang golongan dewasa pun dah ramai, tapi ada yang guna TikTok untuk kebaikan," tulis sebahagian netizen di ruangan komen.
Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ramai dilihat aktif menghasilkan content berbentuk video menerusi aplikasi TikTok di rumah yang kini penggunaannya menjadi ikutan ramai di negara ini.
Sehingga kini, terdapat lebih 800 juta pengguna aktif aplikasi berkenaan di seluruh dunia.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#Yatt Hamzah #TikTok