Pelawak dan pelakon Andre Taulany tidak menyangka seorang yang berperwatakan serius sepertinya, bergelar seorang pelawak.

Menurut Andre, pada awalnya dia cuma menjadi tetamu jemputan sebuah program komedi dan ternyata bakat semula jadinya berjenaka mendapat perhatian daripada pihak produksi.

"Pada awal pembabitan dalam industri saya merupakan seorang penyanyi dan pelakon untuk beberapa buah drama sinetron.

"Namun segalanya berubah apabila saya mendapat tawaran menjadi tetamu dalam sebuah program komedi di Indonesia.

"Sebagai tetamu saya diperlukan bermain beberapa permainan bersama pelawak namun ketika itu saya dilihat lebih kelakar daripada barisan pelawak yang ada dalam program tersebut.

"Jadi selepas itu saya telah menerima tawaran untuk menjadi sebahagian daripada rancang komedi itu dan di situlah bermula kerja saya sebagai seorang pelawak.

"Siapa sangka daripada seorang yang berperwatakan serius saya berjaya menjadi seorang komedi yang mampu menghiburkan ramai orang di luar sana," katanya kepada Astro Gempak.

Andre Taulany berkata demikian ketika ditemui pada sesi rakaman program Pagi-Pagi di Studio Pengadegan, Jakarta, baru-baru ini.

Bercerita mengenai program Pagi-Pagi, Andre berkata dia teruja apabila rancangan tersebut mendapat sambutan daripada masyarakat di Indonesia.

"Saya tidak pernah terfikir rancangan ini akan diterima oleh orang ramai dan ternyata gandingan saya bersama Hesti Purwadinata menjadi perhatian.

"Rancangan ini akan dikendalikan dalam keadaan yang santai dan dipenuhi dengan pelbagai informasi berguna kepada penonton," katanya.

Rancangan ini akan bersiaran setiap hari pada pukul 9.00 pagi di saluran Pelangi 142.

Untuk penonton di Malaysia yang ingin menyaksikan rancangan Pagi-Pagi boleh melanggan Indo Pek (Saluran Bintang 141 dan Pelangi 142) dengan hanya RM12.00 sebulan.

Penonton juga akan dihidangkan dengan hiburan tanpa henti seperti filem, sinetron, video muzik dan gosip terkini dari Indonesia.

Untuk melanggan Indo Pek Saluran Bintang 141 dan Pelangi 142 sila ke saluran 200 di Astro.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi