Hiburan
Terpaksa Berseluar Ketat, PU Rizz Akui Kurang Selesa
Pencetus Ummah dan pelakon, Rizz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail akui kurang selesa apabila terpaksa memakai seluar yang agak ketat sewaktu penggambaran filem Ada Apa Dengan Dosa beberapa bulan lalu.
Menurut PU Rizz biarpun pernah menggayakan seluar yang agak ketat, namun seluar dipakainya pada set penggambaran itu ternyata lebih menyeksakan.
“Dalam filem ini saya membawa watak seorang pendakwah yang belajar dalam jurusan agama di sebuah universiti di Scotland. Bagi menjayakan watak ini penampilan saya perlu diubah sedikit.
"Rambut pun mereka potong ikut stail yang saya tak pernah gayakan sebelum ini. Namun paling saya tak boleh lupa apabila terpaksa menyarung seluar yang ketat.
"Memang sebelum ini pernah juga la pakai skinny, tapi kali ini ketatnya sampai terasa panas walaupun berada di negara sejuk," katanya.
Menurutnya, keputusan pihak produksi mengubah penampilannya itu bagi memberi kelainan terhadap imej pendakwah yang sering dilihat orang ramai.
"Penampilan yang serba moden ini sedikit sebanyak memberi cabaran kepada saya sepanjang berlakon. Tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran filem bercorak Islamik, Ada Apa Dengan Dosa, semalam.
Antara pelakon yang membintangi filem terbitan Pencil Pictures Sdn. Bhd itu termasuklah Wanna Ali, Ashraf Muslim, Fasha Sanda, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.