Laman Utama
Terpaksa Lalui Pembedahan, Sharnaaz Ahmad Dedah Berdepan Pelbagai Kesakitan Ketika Penggambaran Polis Evo 3!
Aktor Sharnaaz Ahmad mendedahkan dia berhadapan pelbagai cabaran terutama dari masalah kesihatan ketika menjaya filem Polis Evo 3.
Paling menyakitkan apabila dia terpaksa menjalani pembedahan kerana masalah sinus yang dialami ketika melakukan aksi di set yang berdebu.
"Sebenarnya ketika menjayakan filem ini, saya banyak berhadapan dengan kesakitan antaranya saya ada masalah gigi...hingga setiap hari. Mungkin kedengaran lucu, tapi cubalah berlakon ketika sakit gigi bongsu.
"Bayangkan saya bergelut dengan kesakitan itu, serta banyak benda lain lagi seperti kecederaan di lutut ketika di set.
"Malah selepas saya menjayakan filem ini, saya perlu menjalani pembedahan hidung akibat sinus teruk yang saya alami berikutan terkena debu tebal di lokasi penggambaran," kongsinya.
Sharnaaz berkongsi kepada Gempak selepas Malam Gala Tayangan Perdana Polis Evo 3 baru-baru ini.
Pun begitu, Sharnaaz tidak merasakan ia sebagai beban malah berasa puas dan berbaloi kerana sudah lama menginginkan untuk terlibat dalam filem yang diidamkan.
"Tapi tak mengapa, bagi saya itulah satu memori indah dalam hidup ini.
"Ini kerana secara jujurnya sudah lama saya mahu menjayakan filem ini iaitu dari Polis Evo pertama lagi.
"Ketika dapat tawaran untuk berlakon dalam filem ini, sehingga saya tidak kisah soal bayaran dan disebabkan itu saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada francais Polis Evo," ujarnya.
Selain Sharnaaz, turut membintangi filem itu ialah Zizan Razak, Shaheizy Sam, Nora Danish dan ramai lagi.
Polis Evo 3 bakal menjengah 165 buah pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 25 Mei ini. Filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures ini mengangkat kredibiliti pasukan polis negara dan Polis Evo 3 masih mengekalkan elemen aksi komedi.