Laman Utama
“Tersalah Ambil Picagari”- CITF-A Sahkan Video Tular Suntikan Kosong Pada Budak 12 Tahun
Semalam tular sebuah video seorang remaja berusia 12 tahun yang sepatutnya menerima vaksin Covid-19 didakwa telah disuntik dengan picagari kosong.
Video tersebut telah mendapat perhatian warga net yang rata-rata akui jelas melihat petugas kesihatan itu memberi suntikan dari picagari yang berbeza dari yang ditunjukkan sebelumnya.
Rakaman itu difahamkan telah diambil oleh ibu kepada remaja berkenaan yang melihat proses dari mula jururawat itu menunjukkan picagari yang berisi vaksin sehingga disuntik dengan picagari kosong.
Menerusi tinjauan Gempak rata-rata menganggap perbuatan tersebut seperti disengajakan.
“Dia ambil jarum lain, yang ada isi vaksin di kiri, dia ambil sebelah kanan,” komen salah seorang warga maya.
“Ni bukan kes salah ambil jarum, tengok pun dah tahu sengaja sebab dia tak tekan pun jarum tu,” kata salah seorang netizen.
Namun hari ini, menerusi laporan Berita Harian Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) telah tampil dan memberitahu amat kesal dengan kejadian itu serta memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja terbabit.
"Dalam kejadian 3.16 petang itu, petugas kesihatan berkenaan telah tersalah ambil satu picagari kosong yang masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.
"Petugas kesihatan itu telah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos yang sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya siasatan dilakukan ProtectHealth mendapati, kejadian berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM), di sini, pada Rabu lalu.
Dr Noor Azmi berkata, selepas menunjukkan picagari berisi vaksin, petugas itu meletakkan sebentar picagari terbabit di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan, selepas menunjukkan picagari berisi vaksin.
"Dia tersalah ambil picagari kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja itu. Selepas selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada pegawai perubatan bertugas di PPV UM.
"Kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja itu.
"Selepas memahami penjelasan diberikan, ibu bapa remaja berkenaan memberi kebenaran untuk remaja terbabit diberikan suntikan vaksin di lengan berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang.
"Prosedur Dos Kurang adalah garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan," katanya.
Dr Noor Azmi turut menyifatkan kejadian itu sebagai kesilapan ketika bertugas atau 'human error', selain menjelaskan petugas kesihatan terbabit sudah diberi amaran supaya lebih berhati-hati dan mengikut prosedur ditetapkan.