Penyanyi dan bintang Big Stage 2019, Fieya Julia akui teruja dan gentar apabila mendapat tahu lagu ciptaannya sendiri dipilih oleh syarikat rakaman Aries Music sebagai single terbarunya.

Lagu berjudul Halusinasi itu adalah ciptaan sepenuhnya oleh Fieya dan telah dimuat naik di saluran YouTube Aries Music sejak 27 Ogos lalu.

Fieya atau nama sebenarnya, Nur Syafiyah Sejali, 22, mengakui keputusan yang dibuat oleh syarikat rakaman itu di luar dugaan kerana sebelum ini dia sering hantar ciptaannya tapi tidak terpilih.

“Sebenarnya saya tak sangka lagu Halusinasi menjadi pilihan syarikat sebab sebelum ini saya pernah bagi lagu yang dibuat tapi semuanya kena reject dan tak terpilih. Mungkin material tak cukup bagus. Saya tak sangka lagu Halusinasi ini menjadi pilihan untuk syarikat. Rasa teruja dan takut juga sebab sebelum ini saya menyanyikan lagu ciptaan komposer profesional.

“Saya masih baharu dan tak pernah keluarkan single ciptaan sepenuhnya. Agak takut, manalah tahu pendengar tak boleh terima lirik tulisan saya sebab masih belajar. Semua ini saya buat ikut idea sendiri. Pada masa sama, saya rasa sangat bersyukur,” katanya.

Sebelum ini, nama Fieya melonjak naik menerusi lagu Perasaanku, ciptaan Amir Hariz yang dilancarkan pada 2018 dan mendapat 45 juta tontonan di YouTube, malah lagu tersebut juga diangkat sebagai lagu tema drama Semua Salahku.

Menurut Fieya, lagu Halusinasi yang dibuat pada Ogos 2020, adalah berdasarkan kisah benar tentang perasaannya ketika itu dan lirik disiapkan dalam tempoh sehari dan dalam jangka seminggu, lirik dan melodinya pula dilengkapkan.

“Masa cipta lagu tersebut, saya tengah alami situasi itu, saya sedang layan sendu. Inspirasi dapat melodi lagu ini dari mimpi. Saya bangun dari tidur dan terus rekod melodi yang dapat dari mimpi dan ubah-ubah sikit dan jadilah melodi Halusinasi.

“Sebenarnya, lagu ini menceritakan tentang diri sendiri juga. Waktu muda ini, kita sering salah anggap cara orang layan kita. Dalam hati mesti tertanya, dia ni layan lebih, suka kat aku ke atau sebaliknya?

"Lagu ini tentang kisah kita terjatuh cinta dengan kawan sendiri, padahal kita tahu dia adalah kawan kita sendiri, kita pula terletak harapan lebih kepada kawan tersebut.

Halusinasi mengisahkan tentang saya berkawan dengan seorang lelaki ini yang selalu ada untuk saya tapi dia selalu juga menghilang. Dia akan ada masa saya sedih dan hilang bila saya dah gembira. Lelaki itu hanya akan berada di sisi ketika saya memerlukan dia.

“Sebenarnya lelaki itu nak berada di sisi saya sebagai kawan, tapi saya tersalah anggap dan ingatkan dia layan sebab suka dan beri perhatian pada saya. Sebenarnya tak, dia caring sebab dia hargai sebagai kawan dan mahu jadi seperti kawan yang bermakna untuk saya,” cerita Fieya tentang isi hatinya sebelum terciptanya lagu Halusinasi.

Berdasarkan pengalamannya itu, Fieya nasihatkan orang lain supaya jangan cepat berharap pada orang yang berbuat baik dengan kita kerana kadang-kadang bukan sebab mereka jatuh cinta dengan kita tapi sebab dia hargai kita sebagai kawan.

Jelas Fieya, rakaman lagu Halusinasi dilakukan di studio Wan Saleh, komposer yang mencipta lagu Penantian untuk singlenya sebelum ini. Rakaman lagu tersebut tidak sampai lima jam kerana sebelum memasuki studio rakaman, Fieya terlebih dahulu membuat latihan.

“Masa rakaman ada juga feel yang tak sampai tapi dibantu oleh orang yang buat arrangement lagu itu dan abang Wan Saleh juga, senang la. Cara saya nak menjiwai lagu itu, selalunya setiap lagu yang dinyanyikan, saya akan letakkan diri dalam situasi lagu tersebut supaya dapat feel sedih serta gembira dan senang untuk menjiwai lagu itu.

Seiring dengan penerbitan Halusinasi, Difahamkan, muzik video lagu tersebut akan menjalani penggambaran Oktober ini disebabkan dia masih belum lengkap vaksinasi COVID-19.

Selain menyanyi, Fieya juga berharap mampu meletak diri sebagai komposer. Sebagai permulaan Halusinasi menjadi platform untuknya menerokai bidang penciptaan dan penulisan lagu.

Setakat artikel ini ditulis, jumlah tontonan video lirik Halusinasi nyanyian Fieya telah mencecah lebih 100,000 sejak dimuat naik di YouTube sebulan lalu.