Pelakon Amyra Rosli mencetus kekecohan apabila tersasul ketika menyampaikan berita di studio Astro Awani.

Menerusi laman sosial Twitter, Astro Awani berkongsi video sedutan Amyra menunjukkan kemahirannya bergelar seorang pembaca berita yang bersiaran di saluran itu pada Sabtu.

Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, 28, kelihatan resah apabila tersasul membaca berita sehingga membuatkan dia mahu pulang ke rumah.“Teksi 10 sen, pasar RM1, ambulan RM1, van jenazah free, itulah antara perkhidmatan yang....... haaaa, baliklah,” kata Amyra selepas tersasul.

Kru-kru produksi di studio Awani juga ketawa melihat aksi Amyra.

Rata-rata netizen terhibur dengan aksi tersasul Amyra dan menyifatkan gelagat ibu beranak satu ini sebagai comel.

Malah, ada yang menyatakan Amyra begitu mirip dengan pelakon sinetron Bawang Putih Bawang Merah, Nia Ramadhani.

Menerusi video berdurasi 13 minit itu, Amyra berkongsi beberapa kisah inspirasi komuniti antaranya perkhidmatan cuci luka percuma yang ditawarkan oleh Kuan Chee Heng, minyak Engkabang yang semakin popular di Sarawak serta ketangkasan pengawas di SMK Seri Nilam, Kuala Terengganu mempelajari seni bela diri Muay Thai.

Komuniti Awani menampilkan selebriti-selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Wany Hasrita, Stacy, Sufian Suhaimi dan ramai lagi sebagai pembaca berita yang membawakan kisah-kisah menarik daripada komuniti.