Selepas Uee, peminat dikejutkan pula dengan berita perpisahan antara anggota kumpulan F.T. ISLAND, Choi Jong Hoon dan ahli gimnastik berirama, Son Yeon Jae.

Menurut wakil agensi Choi Jong Hoon, FNC Entertainment, hubungan pasangan ini berakhir kerana Son Yeon Jae berasa tertekan selepas berita mengenai kisah cinta didedahkan dan menjadi bualan netizen.

“Mereka berdua baru saja putus cinta kerana terkesan dengan hubungan mereka yang telah diketahui umum dan menjadi bualan,” ujarnya ringkas.

Berita itu juga disahkan oleh Jong Hoon ketika sesi ramah mesra bersama peminat di Jepun baru-baru ini.

Malah dia juga mengakui agak sukar untuk mendedahkan berita tersebut kepada peminat dan terpaksa menipu ketika menjadi tetamu dalam program ‘Happy Together’ pada Khamis lalu.

Antara foto yang dirakamkan Dispatch ketika pasangan ini meluangkan masa bersama

“Saya ingin mengatakan sesuatu dengan jujur kepada peminat. Seo Yeon Jae rasa agak terbeban dan tertekan dengan pendedahan hubungan kami.

“Ini adalah perkara biasa yang dilalui bagi lelaki dan wanita untuk menjalin cinta dan berpisah.

“Saya akan menjadi Choi Jong Hoon yang lebih matang selepas ini,” jelasnya seperti yang dilapor Soompi.

Choi Jong Hoon dan Son Yeon Jae menjalin hubungan cinta selama tiga bulan sejak 14 Jun lalu.

Bagaimanapun hubungan cinta mereka berjaya dihidu dan didedahkan oleh portal Dispatch beserta beberapa foto sebagai bukti.