Laman Utama

Tertunda Lebih Setahun, Akhirnya Filem Backstage Akan Mula Ditayangkan Hujung Tahun Ini

gempak
Asraf Aided
07/10/2021
10:40 MYT
Sponsor Banner
Tertunda Lebih Setahun, Akhirnya Filem Backstage Akan Mula Ditayangkan Hujung Tahun Ini
Setelah tertunda lebih setahun disebabkan pandemik COVID-19, filem Backstage yang diproduksikan oleh Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment hasil kolaborasi dengan Astro Shaw & Nusantara, Endeavor Content dan perusahaan teknologi informasi, digital dan telekomunikasi NFC Indonesia, akhirnya sedia untuk menemui penonton di Indonesia bermula 30 Disember ini.
Malah, Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment juga telah melancarkan trailer dan poster rasmi filem Backstage dalam satu sidang media yang diadakan di Jakarta hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Produser Eksekutif Ideosource Entertainment, Andi Boediman, beliau kini berasa lega kerana penantiannya untuk menyaksikan filem berkenaan ditayangkan di pawagam hampir berakhir.
"Proses panjang dari mulanya proses penggambaran hingga akhirnya saat ini dipastikan tayang di pawagam, membuat saya lega. Hampir dua tahun kami menunggu agar Backstage boleh ditayang di panggung," katanya.
Dalam pada itu, Produser Paragon Pictures, Robert Ronny berharap agar filem berkenaan menerima respon positif dari para penonton.
"Saya berharap filem ini boleh mendapat respon positif dari penggemar filem Indonesia, terutama untuk kalangan remaja. Cerita perjuangan seorang gadis yang ingin menjadi penyanyi dengan dukungan kakaknya ini akan memberi suasana yang hangat kepada penonton," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw rasa amat berbesar hati terlibat dalam pembikinan filem Backstage dan bekerjasama sekali lagi dengan penerbit terkemuka dari Indonesia iaitu Ideosource Entertainment dan Paragon Pictures serta kru dan pelakon-pelakon yang berbakat besar.
“Kami berbangga dapat menjalin kerjasama strategik sekali lagi bersama Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment dalam memperkukuhkan jenama kedua-dua penerbit di peringkat global.
"Kerjasama ini juga dilihat menjadi platform sempurna buat Astro Shaw dalam mempamerkan kredibiliti dalam menyediakan platform terbaik untuk mengedar dan memasarkan filem dari negara luar, di samping konsisten dengan komitmen berterusan dalam mempersembahkan filem-filem berkualiti kepada penonton Malaysia.
"Kini filem Backstage sudah bersedia untuk dipersembahkan kepada umum. Kami masih meneliti perkembangan sambutan pawagam di Malaysia yang baru sahaja bermula selepas penutupan di sebabkan pandemik. Jika menunjukkan sambutan yang menggalakkan, pihak kami akan mempertimbangkan tayangan serentak dengan Indonesia.
"Backstage akan menjadi filem pertama daripada Astro Shaw untuk tayangan di panggung wayang sejak pawagam tanah air dibuka semula selepas pandemik COVID-19. Kami berharap kehadiran filem ini mampu menarik penonton ke pawagam dan sekali gus merancakkan ekonomi filem tempatan. Kami juga berharap menerusi kerjasama ini, ia dapat meneguhkan lagi filem serantau Asia," kata beliau.
Menurut pengarah Backstage pula, kerja keras semua pihak dalam menghasilkan filem tersebut umpama terbayar dengan penayangannya di pawagam akhir tahun ini.
"Backstage ini filem yang banyak drama ketika proses penggambaran, bahkan ia juga dihentikan ketika awal pandemik. Namun, semua drama dan kerja keras kami sudah terbayar dengan tayangannya akhir tahun ini," ujarnya.
Backstage menampilkan barisan pelakon hebat seperti Vanesha Prescilla, Sissy Priscillia, Achmad Megantara, Aulia Sarah, Karina Suwandi, Ferry Salim, Verdi Solaiman dan Roy Rungkono.
Sama-sama kita nantikan kemunculan Backstage di pawagam Malaysia pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live