Bukan hanya satu atau dua, tapi lebih tiga jam konsert Anniversary Tour 30 Years Of Dewa 19 berlansung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Jumaat.

Seramai 9,000 peminat dihiburkan dengan persembahan lebih 30 buah lagu daripada Dewa 19 yang dibarisi lima penyanyi iaitu Ahmad Dhani, Virzha & Tyo Nugros, Ello, Ari Lasso, Once Mekel.

Biarpun hujan sebelum pintu masuk konsert dibuka, namun peminat tetap bersemangat untuk menonton kehebatan persembahan kumpulan dari Indonesia tersebut setelah lebih dua tahun tidak ke Malaysia.

Ruang Axiata Arena dipenuhi dengan jeritan suara peminat yang sangat teruja menyaksikan persembahan 38 buah lagu popular daripada kumpulan kegemaran mereka itu.

Sudah tentu peminat ‘sing along’ menerusi beberapa buah lagu popular mereka antaranya Cinta Gila, Tak Kan Ada Cinta Yang Lain, Aku Milikmu, Larut, Hadapi Dengan Senyuman serta Angin yang dinyanyikan oleh Virzha, Ello, dan Ahmad Dhani.

Bukan itu sahaja, segmen kedua yang menyaksikan kemunculan Once dan Ari Lasso menambahkan lagi sorakan kuat daripada peminat memenuhi ruang Axiata Arena.

Persembahan nyanyian Once menerusi Roman Picisan, Arjuna, Dewi dan Sedang Ingin Bercinta duet bersama Ahmad Dhani sudah tentu mengubat hati peminat mereka.

Sudah tentu Ari Lasso yang baru sahaja pulih bebas daripada kanser Limfoma memberikan persembahan yang terbaik menerusi beberapa lagu antaranya Risalah Hati, Pupus, Kangen dan Separuh Nafas.

Malam penuh kenangan manis yang sentiasa akan tersemat di hati baladewa dan baladewi (panggilan bagi peminat) Dewa 19.

Pada malam ini juga, Dewa 19 akan menghiburkan peminat mereka dengan lebih 30 buah lagu popular mereka di lokasi yang sama.

Kredit foto; @echolaliapictures