Teruja Berada Di Malaysia, Fuji Puji Sikap Peminat Yang Sopan-Santun - “Jika Mahu Bergambar Mereka Minta Izin…”
Personaliti media sosial asal seberang, Fujianti Utami meluahkan rasa syukur apabila kehadirannya ke Malaysia disambut baik oleh peminat.
Peminat Malaysia sopan
Bukan itu sahaja, gadis berusia 22 tahun itu juga memuji sikap peminat di Malaysia yang dianggap sopan ketika bertemu dirinya.
“Saya bersyukur tak sangka nama saya tiba-tiba terkenal di Malaysia kerana biasanya saya di Indonesia sahaja, saya sangat bersyukur dan teruja dengan rezeki yang saya terima di negara jiran ini.
“Saya terkejut dan terharu dengan penerimaan baik peminat di sini. Ramai yang datang beri sokongan. Sebelum sesi ini, saya terfikir juga bagaimana nanti reaksi peminat di sini nanti.
“Alhamdulillah, sambutannya baik sekali. Ada yang minta untuk bergambar dan memanggil nama kami. Semuanya okay.
“Malah peminat di sini juga sangat sopan. Jika mahu bergambar, mereka akan minta izin terlebih dulu,” ujarnya ketika ditemui pada sesi Meet & Greet HijabistaHub x Tune Talk Raya Paling Epik di Setia Alam, baru-baru ini.
Sekadar info, ini merupakan kali pertama Fuji dilantik sebagai duta busana raya di Malaysia.
Turut hadir dalam acara tersebut ialah pelakon Ipar Adalah Maut, Davida Karamoy, salah seorang ‘muse’ HijabistaHub 2025, Zizan Razak serta Pegawai Eksekutif (CEO) baharu mereka, usahawan Datuk Seri Aliff Syukri.
Sebagai pelengkap, turut diumumkan barisan ‘muse’ HijabistaHub 2025 selain Zizan, iaitu Emma Maembong, KRU, Maya Karin, Nasha Aziz, dan The Sara Sisters.
Sementara pelantikan usahawan kosmetik, Aliff Syukri, sebagai CEO baharu pula diharap dapat membawa jenama ini ke tahap yang lebih tinggi dan inovatif.
Acara juga diserikan dengan persembahan penyanyi, Iman Troye yang menyampaikan beberapa buah lagu.