Aktor Amerul Affendi mengakui rasa seronok apabila berpeluang bergandingan dengan pelakon senior dalam filem Kalut Nak Kahwin.

Kongsi Affendi, penampilan pelakon Salih Yaacob dan Kartina Aziz dalam filem tersebut memberikan satu pengalaman baru buatnya.

“Saya anggap abang Salih dan kak Kartina merupakan otai dalam bidang lakonan, mereka sangatlah sempoi.

“Ini pengalaman baru buat saya, sebab kami tidak pernah bekerjasama sebelum ini.

“Perasaan jangan cakaplah, memang seronok bila dapat berlakon bersama mereka, malahan teruja bila dapat tahu mereka ada sama dalam filem ini.

“Paling penting keakraban kami sangat kuat, sebab masing-masing tak sombong dan selalu hiburkan kami di set dengan lawak jenaka abang Salih,” katanya kepada Gempak.

Tambah Affendi, biarpun kedua mereka sudah senior dalam industri lakonan, namun tidak pernah lokek berkongsi ilmu.

“Walaupun mereka senior, tetapi layanan mereka sangat baik kepada kami yang masih muda,”

“Mereka juga tidak kedekut ilmu dan sudi kongsi beberapa tips dengan saya dan pelakon-pelakon lain.

“Mereka pesan pada kami untuk sentiasa memikirkan masa depan, sebabnya kehidupan selebriti ini ada naik turunnya juga,” tambah Affendi.

Saksikan filem Kalut Nak Kahwin bermula 4 Ogos menerusi saluran Astro First (480). Untuk tonton banyak lagi movie menarik langgan Astro First sekarang.

SINOPSIS

Tibanya di hari majlis pernikahan dan persandingan Munirah keadaan menjadi kalut apabila kawasan flat perumahannya mengalami gangguan air. Sebagai anak sulung, Mustakim berusaha menyelesaikan masalah dan memastikan hari bahagia adiknya dapat diteruskan. Sementara itu, Pak Lang yang ditugaskan sebagai ketua rewang lebih kalut kerana tidak dapat menyediakan semua juadah hidangan buat tetamu yang akan hadir beberapa jam sahaja lagi. Bukan itu sahaja, tetapi telah berlaku pelbagai insiden seperti kebakaran, tok kadi yang mempunyai urusan lain dan pelamin tak siap. Atas semangat kejiranan, semua penduduk flat cuba membantu walaupun semuanya dalam keadaan kalut.