Laman Utama
Teruja Kerjasama Dengan Komposer Lagu Afgan, Aman Nassim Mahu Cuba Nasib Di Indonesia
Memulakan kerjaya seni pada 2012, nama Aman Nassim cukup sinonim dalam drama dan filem tempatan. Kemudian, Aman, 32, atau nama sebenarnya Abdul Rahman Nassim mengembangkan bakat yang ada dalam bidang nyanyian pula.
Pada 2014, Aman melancarkan single Lafaz Setia, seterusnya pada 2016 menerusi lagu Cinta Pura-Pura dan terakhir pada 2017 iaitu lagu Tunjukkan Ku Bintang.
Selepas empat tahun, ternyata, minat mendalam terhadap muzik dan nyanyian tidak pernah padam.
Terbaru, Aman muncul dalam lagu Cinta Terakhir hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer terkenal Indonesia iaitu Bemby Noor dan dirinya sendiri yang mana lagu itu adalah terbitan dan edaran syarikat rakaman COF Music.
Apa yang lebih membuatkan Aman teruja adalah dia dapat bekerjasama dengan komposer yang menghasilkan lagu Jodoh Pasti Bertemu nyanyian asal penyanyi terkenal Indonesia iaitu Afgan.
“Lagu ini sudah siap dirakam pada penghujung 2019 dan perancangannya mahu dilancarkan di Indonesia tahun lalu. Tapi, disebab penularan COVID-19 memang tidak boleh ke sana. Jadi, buat permulaan lagu ini akan menghiasi drama sebagai lagu tema.
“Dalam masa sama, pihak syarikat masih dalam perbincangan dengan syarikat rakaman Rans Entertainment milik selebriti Raffi Ahmad untuk mengedarkan lagu ini di sana. Selain itu, pembikinan video muzik (MV) lagu ini juga membabitkan produksi dua negara, Malaysia dan Indonesia. Semua pelakon terbabit adalah dari sana dengan gabungan dua produksi.
“MV ini sepatutnya dibuat sebelum Ramadan, tapi tak berjaya sebab pelakon utama iaitu Dimas Ahmad disahkan positif COVID-19, jadi tergendala. Insya Allah, selepas dia sembuh baharulah penggambaran MV diteruskan semula,” katanya.
Untuk makluman, lagu ini telah dipilih sebagai runut bunyi dalam drama Kisah Cinta Rumi yang ditayangkan di TV3.
Bercakap mengenai pemilihan Bemby Noor, Aman berkata dia mahukan single kali ini ada ciri dan bunyi lagu Indonesia.
Malah, Aman merancang lagu Cinta Terkahir itu menjadi langkah awal untuknya memasuki pasaran muzik di sana.
“Kenapa Bemby sebab saya memang nak masuk pasaran muzik Indonesia. Jadi, sebab itu saya nak lagu ini ada sentuhan lagu Indonesia. Sebab peminat di sana lebih memilih lagu mereka," jelasnya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Cinta Terakhir mengisahkan cinta terkahir antara pasangan kekasih yang berjanji sehidup semati.
“Lirik lagu ini pun memparkan percintaan individu dari dua negara. Ia adalah inspirasi daripada pengalaman rakan saya. Pasangan itu berjumpa kali pertama dan terus jatuh cinta.
“Itu pun selepas mereka baharu putus cinta dengan pasangan masing-masing. Jadi mereka nak move on dengan kisah lama dengan buka cinta kisah baharu sehingga tahap nak berkahwin. Kiranya, lagu ini adalah happy ending.
“Lagu ini bergenre pop balada dan memang bunyi lagu Indonesia. Bunyi lagu ini pun macam lagu Afgan. Apabila dapat bekerjasama dengan komposer dari negara luar, saya dapat belajar sesuatu yang baharu. Berdasarkan kajian saya, muzik dangdut masih nombor satu dan kedua adalah pop balada,” katanya.
Video lirik lagu Cinta Terakhir telah ditayangkan di saluran YouTube COF Music bermula 21 April lalu dan video muzik rasminya pula bakal dilancarkan di saluran YouTube COF Music Indonesia selepas hari raya Aidilfitri.
#Afgan
#Indonesia
#Komposer
#Lagu
#Aman Nassim
#Cinta Terakhir
#Cuba Nasib
#Masuki Pasaran Indonesia
#Pasaran