Selepas ditutup berikutan pandemik COVID-19, sesi persekolahan Tahun Satu dan Tahun Dua seluruh negara kembali beroperasi hari ini.

Difahamkan, pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka itu selepas ia ditutup di seluruh negara mulai 9 November tahun lalu.

Malah, sesi persekolahan kali ini menyaksikan murid dan guru menyesuaikan diri dengan norma baharu serta prosedur operasi standard (SOP).

Namun, dalam pada ramai yang bercakap mengenai SOP baru tersebut, satu perkara yang tidak boleh diabaikan adalah masalah ketakutan murid ketika hari pertama sekolah.

Silap langkah, pasti ada murid yang menangis sebaik ditinggalkan ibu bapa.

Menerusi media sosial, masalah itu nampak gayanya telah diatasi oleh beberapa pihak yang mengambil inisiatif kreatif menyarung kostum menarik.

Antara yang kelihatan menceriakan murid termasuklah watak Transformers, Spiderman, Captain America, Mickey Mouse, T-Rex dan banyak lagi watak.

Penggunaan kostum ini seakan menjadi rutin atau tradisi setiap kali murid Tahun Satu mula bersekolah.

Anda boleh lihat antara posting menarik warga maya di bawah.

Untuk rekod, selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga dibuka hari ini.

Bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam pula, mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 5 April bagi negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka di daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri di Sarawak ditangguhkan sehingga 14 Mac disebabkan situasi semasa COVID-19 di kawasan itu.