Hiburan
Tewaskan Dayang Nurfaizah, Ini Komen Syamel & Ernie Zakri
Selepas trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) menjadi milik Dayang Nurfaizah untuk tiga tahun berturut-turut (AJL 29, AJL 30 dan AJL 31), pasangan duet Syamel dan Ernie Zakri berjaya meraih trofi tersebut di AJL 32 baru-baru ini.
Syamel dan Ernie menyampaikan lagu Aku Cinta ciptaan sepenuhnya oleh Syamel manakala Dayang turut bersaing membawakan lagu Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya oleh Ajai.
Ketika ditanya apakah perasaan mereka apabila dapat menewaskan Dayang yang pernah mencipta hatrik Vokal Terbaik, pasangan itu mempunyai jawapan yang tersendiri.
"Mungkin jawapan kami klise tetapi sejujurnya, kami langsung tidak meletakkan sebarang harapan untuk memenangi trofi Vokal Terbaik. Dayang sangat berbakat dan mempunyai pengalaman yang luas, Salma pula memberi saingan yang sangat hebat.
"Kami berbincang untuk memberikan persembahan yang terbaik dan berusaha sehabis baik untuk menghiburkan peminat yang selama ini menyokong," kata Ernie.
Tambah Syamel, dia turut terpukau dengan persembahan yang ditonjolkan oleh Dayang dan Salma.
"Secara peribadi, saya terpukau dan terduduk selepas melihat persembahan Dayang dan Salma. Sebenarnya, saya mempunyai tabiat untuk tidak melihat penyanyi lain melakukan latihan.
"Di malam AJL 32, saya melihat mereka melakukan persembahan dan saya akui mereka sangat bagus. Saya mula rasa gugup untuk melakukan persembahan.
"Saya berbincang dengan Ernie dan dia meyakinkan saya untuk melakukan apa yang sudah kami rancang. Kami melakukan persembahan sehabis baik dan Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Syamel sedang mempromosikan single terbarunya yang berjudul Biar Cinta manakala Ernie pula baru sahaja merakamkan single solonya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Syamel & TV3