Penyanyi Datin Alyah menyelar tindakan netizen yang menyifatkan dirinya sebagai tidak beradab gara-gara meninggalkan majlis sewaktu berlangsungnya konsert minggu kelima Gegar Vaganza Musim Keenam (GV6) malam semalam.

Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan, 38, menjelaskan bahawa, dia terpaksa bangun meninggalkan tempat duduk di kawasan penonton kerana mempunyai urusan lain yang perlu segera diselesaikan.

"Saya nak tanya awak?? Siapa yang lebih biadap dan kurang ajar. Orang yang sudah menjalankan kerjanya dan harus meninggalkan majlis kerana harus menghantar anak saudaranya pulang sebab esok sekolah...

"Atau orang seperti awak?? Sebab membiadapkan orang tanpa usul periksa. Text guna akal bukan guna hasad dengki," tulisnya.

Alyah bersuara selepas salah seorang netizen meninggalkan komen yang mendakwa isteri Datuk Ramli MS itu sebagai artis paling biadap.



Alyah diundang untuk melakukan persembahan pembukaan pada Konsert Minggu Kelima GV6 malam semalam.

Bagaimanapun, usai persembahannya menyanyikan lagu Meluruh, Alyah dibawa hos program, Nabil Ahmad dan Jihan Muse untuk duduk di bahagian kerusi penonton.

Terdahulu, Nabil turut meminta maaf kepada Alyah secara terbuka kerana sering menjadikan Alyah sebagai bahan usikan bersama Datuk Ramli MS ketika mengendalikan Gegar Vaganza.