Berita
Thailand Beri Pujian Cara Malaysia Tangani COVID-19
Negara Thailand memuji kerajaan Malaysia di atas pendekatan yang diambil bagi menangani pandemik COVID-19.
Mesej itu disampaikan oleh Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui panggilan telefon pada 3.30 petang semalam.
Memetik laporan Bernama, jurucakap kerajaan Narumon Pinyosinwat berkata itu adalah kali pertama Prayuth menghubungi rakan sejawatannya itu selepas Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia.
Dalam perbualan itu, Prayuth mengucapkan tahniah dan memuji Muhyiddin atas pengurusan yang baik dalam menangani pandemik COVID-19 di Malaysia yang merekodkan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 8,338 kes dengan 118 kematian.
“Prayuth berkata pendekatan Malaysia menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memainkan peranan penting dalam mengurangkan jangkitan di negara itu,” katanya.
Prayuth juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana mempermudah kepulangan warga Thai yang bekerja di Malaysia serta memberi jaminan akan membantu dalam penghantaran pulang rakyat Malaysia yang berada di negara itu menerusi semua saluran.
“Thailand akan meneruskan kerjasama yang sudah terjalin dalam semua dimensi, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19 di sepanjang sempadan negara serta membantu kepulangan tenaga kerja,” kata Narumon.
Dalam perbualan telefon itu Prayuth turut mengundang Muhyiddin melawat Thailand pada masa yang bersesuaian bagi meningkatkan lagi kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara.
Sumber: Bernama