Laman Utama

Thailand Buka Phuket Untuk Pelancong Yang Sudah Divaksin Mulai Julai

gempak
Azwa Rahman
27/03/2021
12:50 MYT
Sponsor Banner
Thailand Buka Phuket Untuk Pelancong Yang Sudah Divaksin Mulai Julai
Thailand bercadang untuk mengecualikan kuarantin wajib terhadap pelancong asing yang sudah divaksin apabila tiba di pulau peranginan Phuket, bermula 1 Julai bagi membantu menghidupkan kembali industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Sebagai persiapan untuk pembukaan semula itu, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Phiphat Ratchakitprakarn berkata sekurang-kurangnya 70 peratus daripada penduduk di pulau itu akan diberi suntikan vaksin.
Inisiatif itu, 'Phuket Tourism Sandbox' yang dicadangkan oleh Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) akan menjadi pembukaan semula yang pertama untuk pelancong yang divaksin sebelum memperluaskan ke destinasi pelancongan lain seperti Koh Samui, Pattaya, Chiang Mai dan Krabi.
Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Ekonomi (CESA) hari ini meluluskan inisiatif 'Phuket Tourism Sandbox' dan mengarahkan TAT untuk membincangkan rancangan itu dengan gabenor Phuket dan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) sebelum melaksanakannya.
Beliau berkata pelancong yang divaksin dan diuji negatif COVID-19 boleh mengunjungi Phuket tanpa perlu menjalani kuarantin.
Media tempatan melaporkan Phuket memerlukan 925,000 dos vaksin untuk menyuntik 70 peratus penduduknya.
Inisiatif 'Phuket Tourism Sandbox' itu kini sedang menunggu persetujuan Kabinet.
Apabila diluluskan, pulau peranginan itu akan dibuka semula tiga bulan awal berbanding wilayah lain. Thailand merancang untuk membuka semula pintunya kepada pelancong asing yang sudah divaksin tanpa perlu dikuarantin pada Oktober.
Media melaporkan TAT menjangkakan sekurang-kurangnya 100,000 pelancong ke Phuket pada suku ketiga tahun ini.
Bermula 1 April ini, pengunjung ke Thailand akan menjalani kuarantin selama 10 hari berbanding dua minggu sebelum ini dan ia akan terus dikurangkan kepada seminggu untuk pelancong asing yang sudah divaksin dan mempunyai sijil vaksinasi.
Sumber: BERNAMA
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024